sukan

Reaksi Nafuzi Zain selepas gagal ke suku akhir Piala FA

Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengakui kecɇwa apabila pasukannya gagal mara ke suku akhir Piala FA 2026-27, namun tetap berbangga dengan kesungguhan pemain yang memberikan segala-galanya di atas padang.

Menurut Nafuzi, pemain TFC sudah berusaha sebaik mungkin dan berjaya mencipta beberapa peluang, tetapi kesilapan sendiri memberi ruang kepada DPMM FC untuk mengambil kesempatan.

“Secara keseluruhannya, pemain bermain agak baik dan kita banyak mencipta peluang. Namun, kesilapan sendiri menyebabkan pasukan lawan mengambil kesempatan untuk menjaringkan gol.

“Saya begitu kecewa kerana tidak layak ke peringkat suku akhir, tetapi apa yang penting pemain sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk memberikan yang terbaik,” katanya selepas perlawanan.

TFC sebelum itu membawa kelebihan 3-2 hasil kemenangan pada aksi pertama pusingan 16, namun DPMM FC bangkit mencatat kemenangan 3-1 pada aksi kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Keputusan itu menyaksikan wakil Brunei berkenaan mara ke suku akhir dengan kemenangan agregat 5-4.

Nafuzi berkata, pasukannya bermula baik dalam perlawanan berkenaan, namun masih perlu memperbaiki aspek pertahanan terutama ketika berdepan tekanan lawan.
“Dari segi pertahanan untuk menyerap tekanan pihak lawan, kita perlu tingkatkan lagi.

“Dua gol pada babak kedua juga berpunca daripada kesilapan kita sendiri ketika menyerang. Kita kehilangan bola dan pihak lawan melakukan serangan balas,” katanya.

Beliau berkata, tempoh rehat yang panjang akan digunakan untuk menilai semula prestasi pasukan serta memperbaiki kelemahan sebelum menghadapi saingan seterusnya