KUALA LUMPUR: Pengendali baharu Selangor FC, Kim Pan-gon, optimis pasukannya mampu meneruskan kebangkitan sensasi apabila mengharungi cabaran Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee buat kali pertama esok, menentang seteru Kumpulan A, Cong An Ha Noi FC.
Skuad Gergasi Merah bakal melayan kunjungan naib juara edisi lalu itu dalam aksi keempat peringkat kumpulan dengan keyakinan tinggi, selepas mencatat empat kemenangan berturut-turut dalam saingan domestik sejak Pan-gon mengambil alih tugas sebagai pengganti jangka panjang Katsuhito Kinoshi awal bulan ini.
“Saya cukup yakin dengan persiapan pasukan. Saya percaya kami telah membuat persiapan yang sangat baik dan saya amat berharap penyokong akan hadir ke stadium untuk memberikan sokongan.
“Sokongan mereka akan menjadi suntikan semangat yang besar buat kami. Kami sedang membina identiti dan kekuatan kami, khususnya di laman sendiri, dan sasaran kami adalah untuk memenangi setiap perlawanan di tempat sendiri.
“Para pemain berada dalam keadaan yakin dan kami akan memberikan persembahan terbaik esok,” kata Pan-gon yang pernah menjulang kejuaraan Liga K1 bersama Ulsan HD.
Selangor belum tewas dalam penampilan sulung mereka di Piala Shopee musim ini, termasuk kemenangan ke atas Tampines Rovers FC dalam satu-satunya perlawanan di laman sendiri setakat ini.
Mereka turut mencuri mata di tempat lawan hasil keputusan seri menentang juara bertahan Buriram United FC serta DH Cebu FC di Filipina, sekali gus menduduki tempat kedua Kumpulan A dengan baki dua perlawanan, satu mata di belakang pendahulu Tampines. Dua pasukan teratas akan mara ke separuh akhir.
“Perlawanan antarabangsa sentiasa dimainkan dengan intensiti dan kualiti yang lebih tinggi berbanding saingan domestik. Cong An Ha Noi adalah pasukan yang kuat, tersusun dan memiliki pemain berkualiti, jadi kami amat menghormati mereka.
“Pada masa sama, kami mahu bermain dengan cara kami sendiri. Sasaran kami adalah untuk mengawal permainan dan mendominasi penguasaan bola.
“Walaupun menentang lawan yang kuat, kami perlu terus melangkah ke hadapan untuk membina identiti dan DNA pasukan,” kata bekas pengendali skuad kebangsaan Malaysia itu.
Cong An Ha Noi pula turun beraksi secara kompetitif buat kali pertama sejak 18 Disember, susulan rehat pertengahan musim Liga V1.
Pengendalinya, Mano Polking, mengesahkan pasukannya hampir berada pada kekuatan penuh menjelang aksi penting di Stadium MBPJ.
Pemain sayap Nguyen Dinh Bac, bersama pertahanan Pham Ly Duc dan pemain tengah Pham Minh Phuc, tidak disenaraikan dalam skuad kali ini susulan penglibatan mereka dalam Piala Asia B-23 AFC, namun Polking tidak melihat ketiadaan itu sebagai isu besar.
“Mereka baru pulang ke negara dan kami beri mereka beberapa hari rehat kerana pemain lain telah berehat lebih awal.
“Kami pasti merindui mereka, tetapi mereka juga sudah lama tidak bersama pasukan. Kumpulan pemain yang berlatih bersama sepanjang tiga minggu lalu berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya untuk perlawanan ini.
“Kami tahu ini perlawanan yang sangat penting. Jika kami benar-benar mahu layak, kami perlukan tiga mata dan itulah sasaran jelas kami esok. Fokus kami sepenuhnya ke arah itu,” kata Polking.
Cong An Ha Noi, yang mencatat jumlah percubaan tepat tertinggi kejohanan (27), kini berada di kedudukan keempat dengan empat mata selepas bangkit daripada kekalahan awal kepada BG Pathum United FC untuk menewaskan DH Cebu dan mencatat keputusan seri menentang Buriram United.
Keputusan itu menyaksikan mereka satu mata di belakang Selangor dan dua mata di belakang Tampines Rovers.