KUALA LUMPUR: Kapten Selangor FC, Faisal Halim menganggap kemenangan 2-0 ke atas kelab Vietnam, Cong An Hanoi FC pada aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), semalam sebagai hadiah buat seluruh penyokong Gergasi Merah.
Faisal muncul wira pasukannya apabila meledak dua gol pada babak kedua dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, sekali gus membantu Selangor naik ke tangga teratas Kumpulan A.
Pemain berusia 28 tahun yang lebih dikenali sebagai Mickey itu bagaimanapun menjelaskan pasukannya tidak boleh terlalu selesa kerana mereka perlu mengharungi perlawanan terakhir kumpulan berdepan kelab Thailand, BG Pathum United di gelanggang sama, Rabu ini.
“Kemenangan ini adalah untuk pasukan, rakyat Selangor dan seluruh peminat bola sepak Selangor. Saya hanya berikan yang terbaik buat Selangor pada setiap perlawanan.
“Sekiranya saya jaringkan gol atau tidak, yang penting pasukan dapat melakar kemenangan dan ini adalah hadiah kepada penyokong kami. Perlawanan malam ini (tadi) juga adalah perlawanan penentuan buat kami.
“Tiga mata ini sangat penting untuk pasukan dan saya harap semua rakan sepasukan tidak leka. Kami masih ada satu lagi perlawanan penting untuk menentukan sama ada kami layak ke separuh akhir atau tidak,” kata Mickey yang turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan.
Walaupun memimpin saingan Kumpulan A, namun Selangor yang mengumpul lapan mata hanya dibezakan satu mata dengan pasukan tangga kedua, BG Pathum United serta dua mata di depan Buriram United dan Tampines Rovers yang menghuni kedudukan ketiga dan keempat.
Sementara itu, pengendali Selangor, Kim Pan Gon mengakui kemenangan ke atas Cong An Hanoi amat penting selain memberi motivasi terbaik buat pasukannya untuk menghadapi aksi penting berdepan BG Pathum United.
“Kemenangan ini amat penting buat kami,” kata Pan Gon yang mengecapi kemenangan kelima berturut-turut bersama Selangor selepas mengendalikan Gergasi Merah pada awal bulan ini.
“Objektif kami adalah untuk mara ke separuh akhir dan dengan dengan keputusan ini, ia situasi positif untuk kami dan memberi lebih motivasi menjelang perlawanan seterusnya.”