SEREMBAN: Kejayaan PDRM FC layak ke final Piala Cabaran musim ini dianggap sebagai satu keajaiban oleh penyerangnya Shahrel Fikri Md Fauzi.
“Saya rasa bagai satu keajaiban apabila pasukan bangkit dan dapat gol pada minit terakhir perlawanan yang akhirnya membawa kepada penentuan sepakan penalti,” katanya.
PDRM menempah tiket ke final Piala Cabaran selepas menyingkirkan Kedah Darul Aman menerusi penentuan sepakan penalti 5-4 di Alor Setar, kelmarin.
Skuad Sang Saka Biru menyumbat gol penyamaan pada minit terakhir menerusi Shafizi Iqmal untuk mengikat kedudukan 1-1 sekali gus memaksa masa tambahan.
Shahrel Fikri yang mesra dipanggil Eky, mengakui bangga dengan komitmen setiap pemain ketika bertemu Kedah.
“Berbanding reputasi dimiliki Kedah, PDRM dikenali sebagai pasukan ‘biasa-biasa’ kerana ramai pemain kami daripada kalangan anggota, tetapi semangat sepasukan membantu kami menangani perlawanan itu dengan baik.
“Ketika menuju ke hujung perlawanan, saya lihat penyokong sudah menyalakan lampu telefon pintar dan saya sendiri dapat rasakan seperti tiada harapan untuk menang.
sumber:-BH
“Tetapi memang sudah dinamakan rezeki apabila bola menerjah jaring Kedah pada minit terakhir,” katanya ketika dihubungi hari ini.