sukan

Reaksi sumber kelab NSFC mengenai spekulasi Obregon sertai skuad Hobin Jang Hobin

SEREMBAN: Laman sosial penyokong dan peminat setia pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) kecoh seketika susulan spekulasi mengenai kemungkinan pemain Johor Darul Ta`zim (JDT), Jorge Leonardo Obregon yang dikatakan bakal menyertai pasukan itu bagi menghadapi kancah saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2025/2026.

Pemain yang beraksi di posisi serangan berasal dari Columbia itu dikatakan bersetuju untuk menyertai skuad Hobin Jang Hobin.

Malah, spekulasi mengenai perpindahan pemain berkenaan ke pasukan lain diperkuatkan lagi dengan tindakan dua rakan sepasukannya di JDT yang memuat naik ucapan perpisahan selepas hampir satu tahun bermain bersama.

Bergson Da Silva, dalam satu hantaran Instagram Story dilaporkan memuat naik foto memeluk erat Obregon selain mendoakan kejayaan buat beliau.

Manakala seorang lagi penyerang JDT, Heberty Fernandes juga mendoakan perjalanan baharu Obregon selepas ini bakal dilimpahi kejayaan.

Pemain berusia 28 tahun itu mulai menyertai JDT pada Ogos 2024 dalam usaha skuad Harimau Selatan untuk menambah sengat di jentera serangan bagi menghadapi baki aksi musim lalu.

Bagaimanapun, persaingan sengit bersama pemain lain antaranya Bergson dan Heberty serta Romel Morales memberikan sedikit kesukaran buat Obregon memburu tempat di dalam pasukan itu.

Situasi itu membuatkan jodoh Obregon dengan JDT dikatakan bakal sampai ke penghujung, namun tidak diketahui sejauh mana kebenaran spekulasi berkenaan kerana sehingga kini tiada lagi mana-mana pihak membuat pengesahan.

Sumber kelab NSFC memaklumkan berita mengenai Obregon akan menyarungi jersi Negeri Sembilan bagi musim 2025/2026 adalah tidak benar.

“Perkara itu (Obregon) tidak betul. Ia hanya sekadar spekulasi dalam kalangan peminat bola sepak tempatan semata-mata,” kata sumber itu hari ini.

Sehingga kini, pihak pengurusan Negeri Sembilan FC belum mengumumkan jumlah dan juga senarai nama pemain import baharu yang akan menganggotai pasukan itu musim ini, kecuali mengesahkan dua pemain musim lalu iaitu Takumi Sasaki (Jepun) dan An Sang-Su (Korea Selatan) yang dikekalkan.

sumber:- HM

Penyerang tempatan yang kini sudah bersama pasukan itu ialah Luqman Hakim Shamsudin dan Muhamad Hadin Azman.