sukan

Reaksi Tang Jie-Ee Wei selepas bergelar Juara Dunia

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, mencipta sejarah gemilang apabila muncul juara dunia Kejohanan Badminton Dunia BWF 2025 yang berlangsung di Adidas Arena. Kemenangan berprestij ini bukan sahaja menjadi detik manis buat mereka, malah mengukir nama Malaysia dalam sejarah badminton dunia selepas penantian yang amat panjang selama 48 tahun.

Selepas tamat perlawanan penuh mendebarkan itu, Tang Jie meluahkan rasa terharunya. Menurutnya, kejayaan ini bagaikan sebuah mimpi yang menjadi kenyataan. “Saya rasa seperti masih belum bangun daripada tidur. Saya percaya satu demi satu langkah yang kami ambil membawa kepada kemenangan ini. Hari ini saya amat gembira kerana berjaya dinobatkan sebagai jaguh dunia,” ujarnya sambil berkongsi kegembiraan bersama seluruh rakyat Malaysia.

Rakan gandingannya, Toh Ee Wei, pula menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang setia menyokong mereka sepanjang perjalanan sukar yang ditempuhi. Beliau tidak menafikan terdapat cabaran dan isu yang melanda sepanjang tahun ini, namun sokongan padu daripada pelbagai pihak menjadi kekuatan untuk mereka bangkit dan akhirnya meraih gelaran dunia. “Pertama sekali saya ingin mengucapkan Selamat Hari Merdeka buat Malaysia. Kemenangan ini adalah hadiah untuk tanah air. Kami tidak mungkin sampai ke tahap ini tanpa sokongan semua,” kata Ee Wei penuh emosi.

Tambahnya lagi, meskipun ada pihak yang meragui keupayaan mereka, masih ada insan yang setia mempercayai walaupun ketika mereka berada di tahap terendah. “Terima kasih kepada semua yang tetap bersama kami ketika kami menghadapi masalah. Tahun ini kami belum pernah mara ke final, dan inilah kali pertama. Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan kerana membantu kami. Malaysia boleh!” ujarnya dengan penuh semangat patriotik.

Kejayaan ini menandakan titik penting dalam sejarah sukan tanah air apabila Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei menjadi beregu campuran pertama negara yang berjaya menjulang gelaran juara dunia. Sebelum ini, Malaysia pernah menikmati pencapaian hebat dalam acara perseorangan dan beregu lelaki, namun gelaran dunia dalam kategori campuran tidak pernah dikecapi. Kini, sejarah tercipta dengan nama mereka terukir sebagai pelopor.

Kemenangan bersejarah ini sekaligus menoktahkan penantian hampir setengah abad rakyat Malaysia untuk menyaksikan bendera Jalur Gemilang berkibar di podium tertinggi dunia dalam acara beregu campuran. Ia juga menjadi inspirasi besar buat generasi muda dan pemain badminton negara yang lain untuk terus bekerja keras dan mencontohi semangat juang tinggi pasangan ini.

Tahniah diucapkan kepada Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei atas kejayaan luar biasa ini. Kejayaan mereka bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, malah membuktikan bahawa usaha gigih, kesabaran, dan keyakinan mampu membawa kejayaan besar walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.