sukan

Reaksi Yusri Che Lah selepas berjaya raih kemenangan besar keatas PDRM

Batu Kawan: Ketua jurulatih Imigresen FC, Yusri Che Lah menyifatkan kemenangan besar 5-0 ke atas PDRM FC sebagai hasil komitmen pemain yang terus mengekalkan disiplin tinggi meskipun tidak berdepan perlawanan kompetitif sejak tiga minggu lalu.

Jurulatih berusia 49 tahun itu turut melihat anak buahnya amat bermotivasi memburu kemenangan kedua itu selepas berjaya menundukkan Penang FC di gelanggang lawan awal bulan lalu.

“Saya berterima kasih kepada pemain. Selepas tiga minggu tanpa perlawanan, ia bukan mudah untuk sebuah pasukan baharu seperti kami dalam situasi beberapa pemain tonggak berdepan masalah kecederaan.

“Sudah pasti juga pemain mendapat aura terbaik selepas kemenangan tempoh hari. Mereka berada dalam keadaan, disiplin permainan terbaik dan memanfaatkan setiap peluang terhidang dalam bentuk gol,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Terdahulu, skuad The Mighty Tigers mengejutkan The Cops pada minit ke-19 menerusi jaringan Fadzrul Danel Nizam diikuti Jao Pedro (m-38), dua gol Elvis Kamsoba masing-masing di minit 74 dan 76 dengan Fayadh Zulkifli melengkapkan pesta gol tuan rumah pada minit ke-90.

Yusri berkata strategi menghukum lawan seawal mungkin memberi kelebihan buat pasukannya dengan kemasukan Fayadh, Hanafi Tokyo dan Pedro Santos sekitar minit ke-70 turut mengubah rentak sehingga membolehkan pasukannya mencetak tiga lagi jaringan pada 20 minit terakhir.

“Saya tidak menggunakan khidmat Fayadh dalam dua perlawanan terdahulu ketika bertemu Sabah dan Penang tetapi ketiga-tiga mereka tampak ada keserasian dan melakukan perubahan yang betul bagi saya.

“Kemasukan mereka tepat pada masanya untuk merangka jaringan seterusnya yang mana kita lihat sejak dari awal pasukan PDRM seolah-olah kehilangan sesuatu dalam menyaingi permainan,” jelasnya.

Meskipun begitu, Yusri mengakui pasukannya masih jauh untuk mencapai tahap ideal apabila mereka masih kehilangan beberapa pemain yang belum pulih dalam tempoh terdekat termasuk Nik Akif Syahiran dan Azmeer Aris manakala Al-Hafiz Harun dijadual menjalani pembedahan bulan depan.