GEORGETOWN: Pengendali Imigresen FC, Yusri Che Lah menyifatkan kemenangan 1-0 ke atas Penang FC di Stadium Bandaraya malam tadi sebagai detik paling melegakan selepas tujuh perlawanan tanpa menang dalam Liga Super musim ini.
Menurutnya, kemenangan itu hadir ketika pasukan berada dalam tekanan tinggi untuk mempertahankan kelebihan satu gol, namun pemain mempamerkan disiplin bertahan dan ketahanan mental luar biasa hingga wisel penamat.
“Saya terharu dengan komitmen pemain. Kami tidak mengejar jaringan, sebaliknya mengekalkan kelebihan satu gol dengan fokus dan semangat luar biasa,” katanya selepas perlawanan.
Beliau mengakui pasukannya sering gagal mengekalkan prestasi pada separuh masa kedua sebelum ini, namun kali ini skuad The Mighty Tigers mempamerkan perubahan positif yang akhirnya menghadiahkan kemenangan.
Tiga mata berharga itu bukan sahaja kemenangan pertama tanpa bolos, malah melonjakkan Imigresen lima anak tangga ke kedudukan kelapan liga ketika ini.
Yusri turut berdepan kekangan kecederaan apabila kehilangan beberapa tonggak utama seperti Amirali Chegini dan Nik Sharif Haseefy selain Nik Akif Syahiran yang digantung perlawanan.
Beliau juga terpaksa mengeluarkan Keron Ornchaiyaphum akibat kecederaan dan menurunkan Hanafie Tokyo yang belum pernah beraksi musim ini kerana kekurangan pilihan di benteng pertahanan.
Yusri mengakui 95 minit perlawanan itu terasa begitu panjang apabila Penang FC terus mengasak untuk memburu gol penyamaan selepas jaringan awal mereka dibatalkan kerana ofsaid.
“Kami sedar Penang bermain baik dalam beberapa perlawanan terakhir, tetapi percaturan kami berjaya mengekang Tchetche Kipre dan Dylan Wenzel-Halls daripada mencipta impak,” katanya.
Jurulatih itu berharap kemenangan ini menjadi titik kebangkitan pasukan dan mahu memanfaatkan tempoh rehat jendela FIFA selama tiga minggu untuk memperbaiki kecergasan serta taktikal menjelang aksi menentang PDRM FC.