sukan

Realisasi dua elemen itu penting buat pengendali JDT

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) merancang untuk turun lebih dinamik dan beraksi dengan intensiti tinggi bagi mengekalkan kedudukan tangga teratas liga apabila melayani kunjungan Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, petang esok.

Dua elemen itu penting buat pengendali JDT, Hector Bidoglio bagi menterjemahkan perancangan taktikal yang akan dibuat menepati sasaran bagi memburu kemenangan apabila berdepan skuad kendalian Fandi Ahmad yang tampak bakal memberi saingan hebat dalam pertembungan itu nanti.

Malah pengendali kelahiran Argentina itu tidak menolak ia perlawanan yang sukar buat skuad bergelar Harimau Selatan apatah lagi barisan pemain skuad Tok Gajah memiliki kualiti yang mampu menggugat peluang juara liga 10 musim berturut-turut itu mengekalkan momentum.

“Corak permainan JDT sudah mula menunjukkan peningkatan dan ia harus berterusan dan perlu dipertingkatkan lagi apabila berdepan Sri Pahang dan kita tahu pasukan itu adalah pasukan yang baik dengan pemain yang berkualti dah saya jangkakan ia perlawanan sukar buat kami.

“Oleh itu apa yang perlu saya tekankan dalam persiapan untuk aksi seterusnya sudah pasti mahu memberi fokus bagi corak permainan yang lebih dinamik dan ketepatan hantaran akhir yang membolehkan jaringan gol.

“Malah intensiti corak permainan yang tinggi juga akan diberi penekanan kerana setiap gerakan yang disusun harus ada sokongan dalam kalangan pemain. Bukan mereka tidak bergerak dengan efektif tapi saya mahu lebih daripada apa ang ada sekarang.

“Saya mahukan pemain yang diturunkan nanti memliki kualiti namun ada masalah kecil yang timbul kerana agak sukar untuk membariskan kesebelasan terbaik kerana 11 pemain yang terpilih memiliki kualiti yang sama dengan pemain simpanan, jadi mereka perlu beri yang terbaik ketika latihan sebelum dipilih,” katanya.

SUMBER:-BH

Bidoglio juga menegaskan prestasi Arif Aiman Hanapi yang kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan masih belum berada di tahap kecergasan 100 peratus namun kedudukan itu tidak membimbangkan kerana pemain sayap kanan JDT itu bakal sedia beraksi dalam tempoh 90 minit permainan.