sukan

Rekod gol kurang cantik, Wan Jamak tahu alasan Nafuzi

KEDAH Darul Aman (KDA) FC akhirnya mengumumkan pemain import dari Serbia, Milos Gordic sebagai peledak baharu pasukan Hijau Kuning bagi membantu menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim 2024-2025.

Pemain yang sebelum ini berstatus ejen bebas setelah dilepaskan kelab divisyen kedua China, Wuxi Wugo berkenaan disambar untuk memperkuatkan jentera serangan pasukan Utara tanah air itu.

Walaupun Gordic mendapat markah lebih dari segi ketinggian iaitu mencecah 1.87 meter serta struktur fizikalnya yang sasa namun timbul kesangsian mengenai kebolehannya selepas melihat statistik perlawanan.

Berdasarkan data yang dikeluarkan laman Transfermarkt, pemain berusia 31 tahun berkenaan hanya menjaringkan 31 gol dan mencipta 10 hantaran bantuan dalam 131 penampilan sepanjang kariernya.

Rekod berkenaan jelas menimbulkan kebimbangan dalam penyokong dan khuatir jika Gordic tidak akan bertambah baik sepanjang bersama skuad Sang Kenari yang mahu berada di kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Super 2024/25.

Bagi pemerhati bola sepak tanah air yang juga bekas pengendali Kedah, Wan Jamak Wan Hassan, rekod dimiliki oleh penyerang baharu Kedah itu jelas memberi persepsi negatif dalam kalangan penyokong.

Menurutnya, ada beberapa kelab ataupun jurulatih akan mengambil seorang pemain berdasarkan bentuk fizikal namun perkara penting seperti sejarah kecederaan juga perlu diambil kira.

“Perlu berhati-hati untuk rekrut pemain. Jika profil 31 gol dalam 131 penampilan sahaja, mungkin dikira satu perlawanan berapa sahaja gol dia boleh hasilkan. Dari situ kita boleh tahu jika penyerang itu seorang yang prolifik.

sumber:-Majoriti

“Kadang-kadang saya lihat ini bukan satu penyakit tapi satu budaya yang perlu dilihat. Kita tengok fizikal cantik tapi macam mana dengan kecederaan, disiplin dan sebagainya. Perkara sebegini juga penting kepada pasukan,” katanya kepada Majoriti.