KUALA LUMPUR: Kekalahan 2-1 kepada Kuching City FC dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Negeri, Kuching, semalam, bukan penamat buat Selangor FC bagi saingan Piala FA musim ini.
Sebaliknya, ketua jurulatih Gergasi Merah, Nidzam Jamil menegaskan pasukannya akan bangkit pada aksi kedua yang akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Sabtu ini.
Malah, pengendali berusia 44 tahun itu tidak menganggap pasukannya bermain teruk walaupun terpaksa akur tunduk kepada skuad kendalian Aidil Sharin Sahak.
“Sudah tentu kami tidak gembira dengan keputusan, tapi perkara yang baik kami boleh tebus semula di gelanggang sendiri sebab Piala FA ini ada aksi tempat sendiri dan tempat lawan.
“Untuk kata kami bermain teruk, tidak. Namun, bola sepak akan ada sesuatu yang mana apabila anda menang, segalanya bagus, tapi bila kalah, ada benda yang anda perlu perbaiki.
“Pemain bermain bagus, tapi pujian juga untuk Kuching City kerana mereka bertahan dengan baik,” kata Nidzam selepas perlawanan.
Kekalahan kepada Kuching City menamatkan rekod kemenangan bersih Selangor dalam empat perlawanan berturut-turut sebelum ini termasuk tiga aksi Liga Super dan satu dalam Piala FA.
Sementara itu, Aidil menjelaskan pasukannya perlu memperbaiki beberapa kelemahan sekiranya mahu melangkah lebih jauh dalam saingan Piala FA.
“Kredit kepada semua pemain kerana mereka bermain dengan baik. Kami tahu Selangor pasukan besar, lengkap dengan pemain tempatan dan import yang bagus.
sumber:-BH
“Pemain mengikut perancangan dan kami mendapat hasil yang baik. Sudah pasti ini baru aksi pertama dan perlu perbaiki lagi kesilapan. Kalau nak ke depan, kami mesti bermain lebih bersemangat dan lebih baik dari hari ini,” katanya.