Rekod tanpa kalah Harimau Malaya akhirnya ‘lebur’

KUALA LUMPUR:Sudah jatuh ditimpa tangga! Itu senario yang tepat untuk menggambarkan situasi skuad Harimau Malaya selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) membatalkan tiga keputusan perlawanan mereka sebelum ini.

Susulan skuad kebangsaan menurunkan pemain yang tidak layak beraksi, dua kemenangan ke atas Singapura dan Palestin serta seri dengan Cape Verde dianggap ‘hangus’ sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah mereka pada tahun ini.

Lebih malang, Malaysia diberikan kekalahan 0-3 dengan peguam sukan dan komersial, Nik Erman Nik Roseli mengesahkan hukuman itu akan memberi kesan yang buruk kepada kedudukan ranking FIFA skuad negara.

Tegas Nik Erman, hukuman FIFA itu adalah berdasarkan Artikel 19 Kod Disiplin FIFA kerana menurunkan pemain yang tidak layak untuk beraksi.

“Bukan sahaja denda tetapi pemain juga boleh dikenakan hukuman. Artikel 19 ini dibaca dengan Artikel 28 di mana pasukan yang yang dikenakan hukuman akan dibatalkan keputusan perlawanan dan perlawanan akan direkodkan sebagai tewas 3-0.

“Oleh kerana perlawanan persahabatan juga diambil kira dalam perkiraan ranking FIFA, Malaysia akan hilang mata ranking akibat daripada keputusan FIFA ini,” kata Nik Erman.

Malaysia ketika ini menghuni ranking ke-116 dunia dengan 1168.41 mata selepas menamatkan tahun 2025 tanpa sebarang kekalahan namun keputusan ini menyebabkan ranking negara boleh ‘terjunam’.

Laman sesawang yang sentiasa mengendalikan kedudukan ranking secara langsung, footyrankings menjangkakan skuad bimbingan Peter Cklamovksi akan terkeluar daripada kelompok 120 dunia.

Ini selepas Malaysia dianggap tewas dalam tiga perlawanan terbabit yang menyaksikan mereka hilang mata ranking FIFA yang sudahpun dikutip sebelum ini.

“Susulan keputusan ini, berdasarkan perkiraan kami, mata ranking FIFA Malaysia akan ditolak sebanyak kira kira 22.95 mata.

“Ini menyebabkan Malaysia akan turun ke ranking ke-122 dunia namun kedudukan ranking akan dikemaskini secara rasmi, esok (19 Disember),” kata laman sesawang itu.