Kuala Lumpur: Tiada yang mustahil dalam usaha untuk mencapai matlamat layak ke Piala Asia 2027 dan berada dalam kelompok 100 pasukan terbaik dunia sepanjang tempoh 2025.
Hal ini kerana berdasarkan profil tinggi dimiliki individu yang dilantik mengemudi struktur revolusi itu terutama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Robert Friend dan Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan, Dr Craig Duncan sudah pastinya perancangan teliti dan sistematik akan dilakukan bagi merealisasikan impian itu.
Malah, pelantikan Peter Cklamovski dan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih skuad senior Harimau Malaya dan pasukan bawah 23 (B-23) tahun negara juga menjadi ‘pemudah cara’ untuk segala perancangan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
Menerusi revolusi dan pelaburan besar itu juga dijangka boleh mengatasi pencapaian Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon sebelum ini yang membawa skuad negara layak secara merit ke Piala Asia 2023 selepas 43 tahun selain peningkatan dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).
Pemerhati bola sepak tempatan yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim menyifatkan pelantikan individu hebat itu menampakkan usaha untuk membawa Harimau Malaya ke tahap lebih tinggi.
Justeru, Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu percaya bahawa dua matlamat utama Harimau Malaya untuk ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi dan mendaki ke kelompok 100 pasukan terbaik dunia boleh dicapai.
“Kalau ikut sejarah, bola sepak kita sudah lama dikaitkan sebagai pasukan yang kalah. Pasukan yang tak layak ke Olimpik, tak layak ke Piala Asia dan pasukan yang susah nak menang Piala Aff, apa lagi layak ke Piala Dunia.
“Sekarang kita kena berikan sokongan dan peluang kepada mereka (dalam revolusi Harimau Malaya) untuk membuktikan keupayaan dan kita berharap akan dapat hasil yang baik dari pelaburan besar ini.
“Saya percaya CEO (Friend) dari Kanada dan doktor (Duncan) dari Australia bukan calang-calang dan pasti dibayar gaji yang tinggi.
“Jadi harap kita bukan sahaja layak ke Piala Asia, malah meraih sesuatu yang lebih tinggi hasil dari pelaburan ini,” kata Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
sumber:-HM
Revolusi Harimau Malaya sudah bermula dengan Cklamovski dan Nafuzi secara rasmi memulakan tugas mereka, Rabu lalu manakala Persatuan Bolasepak Maalysia (FAM) memaklumkan tugas Friend dan Duncan juga akan bermula bulan ini.