KUALA LUMPUR: Revolusi dilakukan terhadap skuad bola sepak kebangsaan dianggap sudah menampakkan hasil positif susulan peningkatan prestasi Harimau Malaya di bawah kendalian ketua jurulatih, Peter Cklamovski.
Kejayaan menamatkan badi 11 tahun tidak menang ke atas Vietnam dan menewaskan Palestin buat kali pertama dalam tempoh 24 tahun menjadi antara bukti peningkatan Harimau Malaya menerusi revolusi dicetuskan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Malah, kemenangan 1-0 ke atas Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, menyaksikan skuad negara melakar rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan rasmi di bawah kendalian Cklamovski.
Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail turut gembira dengan persembahan konsisten dipamerkan skuad negara yang mana ia menunjukkan perkembangan positif bagi pasukan senior kebangsaan.
Jamal bagaimanapun menjelaskan, kejayaan besar daripada revolusi skuad kebangsaan itu akan dirasai sekiranya Harimau Malaya berjaya meraih tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2027.
Beliau berkata, Harimau Malaya juga perlu memperkemaskan lagi skuad terutama membabitkan pemain simpanan supaya corak permainan yang ditampilkan tidak menurun apabila berlaku pertukaran pemain terutama di babak kedua.
Katanya, perkara itu dapat dilihat ketika berdepan Palestin yang mana persembahan skuad negara berubah selepas Joao Figueiredo dan Arif Aiman dikeluarkan.
“Kita perlukan pemain simpanan yang setaraf dengan pemain utama. Dia (pemain simpanan) tidak boleh kurang (dari pemain utama), kerana dia masuk dengan tenaga baharu dan sepatutnya mampu mengekalkan atau meningkatkan corak permainan pasukan.
“Apa pun, setakat ini perkembangan Harimau Malaya nampak positif dan kita harap benda ini akan berterusan bukan sahaja untuk aksi persahabatan, tetapi juga dalam aksi sebenar iaitu kempen kelayakan Piala Asia.
“Kita akan berdepan Laos dan Nepal selepas ini sebelum menentang Vietnam bagi kempen kelayakan Piala Asia, jadi kita harap pasukan dapat selesaikan tugas itu dengan kejayaan dan membawa skuad negara ke pusingan akhir.
“Sekiranya berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia, selepas itu Harimau Malaya boleh fikirkan perancangan yang lebih besar kerana akan berdepan lawan kuat di Asia seperti pasukan dari negara Arab,” katanya kepada BH Sukan.
Harimau Malaya terlebih dahulu akan menghadapi dua aksi kelayakan Piala Asia berdepan Laos dalam Kumpulan F pada 9 dan 14 Oktober ini sebelum menentang Nepal (18 November) dan aksi terakhir bertemu Vietnam (31 Mac).
Selain itu, Jamal turut menyuarakan kebimbangan mengenai perkembangan skuad bawah 23 (B-23) tahun negara yang mengalami detik mengecewakan di Piala ASEAN, Julai lalu dan yang terbaharu gagal melayakkan di ke Piala Asia B-23 2026.
“Skuad B-23 ini adalah pelapis kepada pasukan senior, tapi kita asyik kalah dengan Thailand dan Vietnam. Kita sering lawan mereka setiap tahun dan kita patut buat bedah siasat betul-betul kenapa kita asyik kalah dengan dua pasukan ASEAN itu.
“Skuad B-23 ini nampak pemain tempatan kita masih jauh lagi dan sebab itu apabila Harimau Malaya gunakan pemain naturalisasi dan warisan, saya memang bersetuju untuk jangka pendek.
“Tapi jangka pendek itu sampai bila? Kita nak harapkan jangka panjang iaitu pemain pelapis. Jadi sebab itu kita kena kaji apa sebenarnya kekurangan pasukan atau pemain di peringkat bawah umur kita,” katanya.