sukan

Rexy akui BWF terlalu kerap melakukan eksperimen

KUALA LUMPUR: Pengarah kejurulatihan beregu kebangsaan, Rexy Mainaky, berpandangan sistem kiraan 21 mata masih kekal sebagai format terbaik dalam badminton, meskipun cadangan penggunaan sistem 15 mata bakal dibawa untuk kelulusan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Menurut Rexy, badan induk dunia itu terlalu kerap melakukan perubahan terhadap sistem pemarkahan sejak dahulu lagi.

“Sebelum saya komen pasal 15 mata ini, BWF terlalu banyak buat perubahan. Dari 15 mata ‘service over’, tukar ke 21, pernah cuba 7 mata, 11 mata, sekarang 15 mata.

“Terlalu banyak pertukaran dan eksperimen. Kalau nak cakap sistem yang paling baik, bagi saya tetap 21 mata,” katanya kepada BH Sukan.

Bagaimanapun, Rexy mengakui sistem 15 mata masih boleh diterima sekiranya diluluskan, namun memerlukan masa untuk dinilai keberkesanannya.

Dalam masa sama, pemenang pingat emas Olimpik Atlanta 1996 itu menyifatkan format 15 mata menuntut tahap konsistensi dan fokus lebih tinggi dalam kalangan pemain kerana tempo permainan dijangka menjadi lebih pantas.

“Saya rasa pada peringkat awal mungkin akan ada sedikit kekeliruan. Tapi dalam latihan kita perlu sudah bersedia, permainan pasti jadi lebih cepat dan pemain perlu lebih konsisten.

“Kalau buat kesilapan lima mata saja, kita sudah hilang banyak peluang. Jadi pemain perlu faham bahawa konsistensi dan fokus itu paling penting. Bukan hanya konsisten dalam pukulan, tetapi juga dalam fokus sepanjang perlawanan,” katanya.

Rexy menjelaskan, dari sudut latihan, tiada perbezaan ketara berbanding persiapan ketika menggunakan sistem 21 mata sebelum ini, namun aspek konsistensi dan kekuatan mental perlu diperkukuh.

“Saya tidak rasa latihan akan banyak beza. Cuma pemain perlu tingkatkan konsistensi dan fokus supaya lebih sempurna. Dalam sistem 15 mata, setiap mata sangat berharga,” katanya lagi.

Mengulas kebaikan dan kekurangan sistem baharu itu, Rexy berkata perubahan berkenaan mungkin memberi manfaat dari segi pengurusan beban pemain dalam kalendar kejohanan yang padat.

“Sistem 15 mata ini mungkin bagus, mungkin juga tidak. Kita perlu masa untuk lihat kesannya. Tapi ada juga kebaikan kerana kejohanan badminton sangat banyak.

“Dengan perlawanan yang lebih pendek, pemain mungkin lebih cepat pulih dan boleh ‘recover’ dengan lebih baik,” katanya.

Minggu lalu, BWF memaklumkan majlis badan induk itu bersetuju membawa cadangan penggunaan sistem 15 mata (tiga set) untuk diundi pada AGM di Horsens, Denmark pada 25 April ini.