sukan

Rexy bimbang Aaron-Wooi Yik hilang keyakinan

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky mengakui bimbang tahap keyakinan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan merosot sekiranya terus bergelut dengan prestasi tidak menentu selepas tersingkir di pusingan kedua Terbuka Malaysia, semalam.

Justeru, jurulatih dari Indonesia itu menggesa pasangan nombor enam dunia berkenaan segera bangkit menjelang saingan Terbuka India di New Delhi yang akan bermula Selasa ini bagi membina momentum dan meningkatkan tahap keyakinan mereka sebelum beraksi dalam satu lagi kejohanan utama iaitu Seluruh England pada Mac depan.

Aaron-Wooi Yik yang juga bekas juara dunia dikejutkan dengan kekalahan straight set di tangan gandingan Taiwan yang menghuni ranking ke-27 dunia, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen 15-21, 18-21 dalam tempoh 47 minit di Axiata Arena Bukit Jalil.

Rexy mengakui pemenang pingat gangsa Olimpik dua kali itu gagal menemui rentak permainan sebenar mereka dalam perlawanan itu.

“Aaron-Wooi Yik bermula sangat perlahan di set pertama, lebih banyak menunggu dan membenarkan lawan bermain corak permainan mereka. Itu membuatkan mereka terikut-ikut dengan rentak permainan lawan.

“Set kedua permainan Aaron-Wooi Yik lebih baik.

“Sepatutnya dengan pengalaman dimiliki mereka, mereka boleh lebih tenang berdepan situasi mata penting tetapi ini tidak berlaku. Sebaliknya, mereka melakukan kesilapan yang membenarkan lawan mengambil peluang.

“Selepas ini mereka akan ke India, saya harap mereka akan segera bangkit untuk kembali di landasan sebenar supaya tidak menjejaskan tahap keyakinan mereka untuk beraksi di Seluruh England,” kata Rexy kepada BH Sukan.

Ini adalah kekalahan pertama Aaron-Wooi Yik kepada pasangan kembar Taiwan itu selepas menang dalam semua dua pertemuan sebelum ini di Terbuka Perancis tahun lalu dan Cabaran Antarabangsa Vietnam 2018.

Kekalahan di pusingan kedua Terbuka Malaysia itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik gagal untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian edisi tahun lalu yang menyaksikan mereka mara sehingga suku akhir.

sumber:-BH

Di Terbuka India, mereka akan membuka tirai kempen menentang gandingan Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul di pusingan pertama.