sukan

Rexy dedah punca Pearly Tan-M Thinaah tewas

KUALA LUMPUR: Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah digesa untuk mempelbagaikan corak permainan mereka supaya tidak mudah dibaca pihak lawan.

Kelmarin, pasangan nombor enam dunia itu yang diletakkan harapan tinggi untuk menyerlah di Terbuka Malaysia dikejutkan dengan kekalahan di tangan gandingan ranking ke-80, Siti Fadia Silva Ramadhanti-Lanny Tria Mayasari dalam pertarungan tiga set, 21-19, 14-21, 13-21 pada aksi pusingan pertama.

Sebagai rekod, ini adalah kali ketiga berturut-turut Pearly-Thinaah tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia selepas turut mengalami nasib sama pada edisi 2023 dan 2024.

Rexy berkata dia melihat Pearly-Thinaah hanya bergantung kepada satu corak permainan yang mengakibatkan ia mudah dibaca pihak lawan.

“Permainan mereka terlalu mudah dibaca. Mereka hanya menggunakan satu gaya serangan iaitu smash kuat tanpa ada strategi atau variasi.

“Itu sahaja tidak cukup untuk menewaskan lawan pada tahap tertinggi.

“Pergerakan mereka juga sangat perlahan dan tidak lancar dalam perlawanan itu,” katanya kepada BH Sukan.

Berdasarkan Terbuka India yang menjadi kejohanan kedua mereka musim ini bermula Selasa ini, Rexy sedar pasangan itu tidak mempunyai masa yang banyak untuk cuba mempelbagaikan corak permainan.

“Namun, sekurang-kurangnya saya mahu melihat bagaimana mereka mengambil iktibar daripada kekalahan perlawanan dengan Siti Fadia-Lanny itu,” katanya.

Di India, Pearly-Thinaah akan membuka tirai saingan menentang gandingan tuan rumah, Prerana Alvekar-Mrunmayee Deshpande di pusingan pertama.