KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menegaskan skuad negara bakal turun sebagai sebuah pasukan ‘solid’ di kejohanan Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei ini.
Pendekatan itu dianggap lebih sesuai diterapkan berbanding hanya memikirkan kekuatan (sesetengah) sektor sahaja yang pada akhirnya bakal melemahkan motivasi dalam skuad negara.
Justeru itu katanya, kekuatan sebagai sebuah pasukan adalah lebih utama pada ketika mereka mempunyai sasaran cuba melepasi pencapaian pingat gangsa diraih pada edisi sebelum ini.
“Saya tak boleh katakan yang kita pergi dengan (melihat) sektor siapa yang kuat tetapi harus lihat kepada pasukan yang ‘solid’. Jadi ini kita kena sentiasa belajar daripada kesilapan.
“Kalau kita kata ini (sektor) pasukan kuat, itu pasukan kuat… maknanya kita melemahkan motivasi yang tidak kuat. Itu yang kita nak ubah dan kita pergi dengan pasukan yang solid,” katanya.
Skuad negara dibarisi Leong Jun Hao dan Justin Hoh yang menggalas cabaran dalam acara perseorangan lelaki manakala perseorangan wanita diperkuatkan pemain profesional, Goh Jin Wei serta pemain muda, K Letshanaa.
Kekuatan utama skuad negara terletak dalam acara beregu dengan kem beregu lelaki disertai Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Untuk beregu wanita, dua pasangan dipertaruhkan iaitu Pearly Tan-M Thinaah dan Go Pei Kee-Carmen Ting.
Malaysia turut mempertaruhkan tiga pasangan beregu campuran iaitu Goh Soon Huat-Shevon Lai, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei serta Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, bagi memberikan kepelbagaian strategi dalam acara penting itu.
Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama Australia, Perancis dan Jepun, dengan dua pasukan teratas bakal beraksi di suku akhir.
sumber:- BH
Skuad badminton negara dijadual memulakan aksi Isnin ini dengan menentang Perancis sebelum bertemu Australia keesokan harinya dan Jepun pada 1 Mei.