sukan

Rifdean ‘berani mati’ cabar juara dunia Atomweight dari Jepun

KUALA LUMPUR: Jaguh muay thai negara, Rifdean Masdor menggegarkan pentas ONE Championship apabila melaungkan cabaran terbuka kepada juara dunia Atomweight dari Jepun, Nakada, susulan kemenangan sensasi di Bangkok, malam tadi.

Hasrat berani itu disuarakan Rifdean sejurus menampilkan aksi bertenaga selepas menundukkan petarung Indonesia, Mohamad Redho pada perlawanan ONE Friday Fight 138 di Stadium Lumpinee.

Petarung berusia 23 tahun itu hanya memerlukan 2 minit 34 saat pada pusingan pertama untuk menamatkan perlawanan menerusi knockout (KO), sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara prospek paling menyinar negara di pentas antarabangsa.

“Selepas ini saya mahu lawan yang terbaik. Jika diberi peluang, Nakada. Saya akan datang (terima),” kata Rifdean dengan penuh keyakinan sebaik tamat perlawanan.

Kemenangan ke atas Redho, 26, itu menyaksikan Rifdean mencatat kemenangan ketiga berturut-turut selepas sebelum ini menewaskan Bernueng Sor Salacheep dari Thailand dan Nongbia LaoLaneXang dari Laos, tahun lalu.

Persembahan bertenaga Rifdean itu turut mendapat pengiktirafan daripada Ketua Pegawai Eksekutif ONE Championship, Chatri Sityodtong yang menghadiahkan bonus prestasi 350,000 Baht (kira-kira RM46,000).

Secara keseluruhan, Rifdean sudah mengumpul lima kemenangan dan satu kekalahan sejak menyertai ONE Championship pada 2024, sekali gus meletakkannya sebagai pencabar serius dalam divisyen Atomweight.

Sebagai rekod, Nakada dinobatkan sebagai juara dunia Atomweight selepas menewaskan petarung Thailand, Numsurin Chor Ketwina menerusi keputusan sebulat suara (Unanimoues Decision) pada November lalu dan masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat pertarungan setakat ini.