KUALA LUMPUR: Petarung muay thai negara, Rifdean Masdor bertekad mencipta sejarah dengan menamatkan rekod tanpa kalah juara dunia atomweight ONE Championship, Nadaka Yoshinari apabila berentap di ONE SAMURAI 4, Sabtu ini.
Petarung yang dikenali sebagai Magic Boy itu bakal mencabar jaguh Jepun berkenaan dalam aksi utama bersama di Ariake Arena, Tokyo, dengan peluang merampas gelaran dunia menjadi pertaruhan.
Rifdean berkata, pertemuan itu dinantikan sejak sekian lama selepas mengikuti perkembangan Nadaka selama empat tahun, sekali gus menjadikan peluang berdepan petarung itu lebih bermakna buat dirinya.
“Selepas tujuh kemenangan dalam ONE Championship, saya bersedia bertarung dengan Nadaka.
“Pertarungan ini sangat besar kerana Nadaka masih belum pernah kalah, tetapi saya akan memastikan dia tewas. Saya akan mencipta sejarah dan menjadi orang pertama yang menewaskannya,” katanya.
Keyakinan Rifdean hadir selepas mencatat lima kemenangan berturut-turut, termasuk kemenangan kalah mati (knockout) hanya dalam 94 saat ke atas Javad Mozafari, yang membolehkannya memperoleh kontrak AS$100,000 (RM420,000) untuk menyertai barisan utama ONE.
Bagaimanapun, cabaran kali ini berbeza apabila Nadaka hadir dengan rekod enam kemenangan dan rentetan 42 kemenangan berturut-turut sepanjang kariernya.
Mengakui kelebihan lawannya dari segi kepantasan, kekuatan dan kecerdikan taktikal, Rifdean percaya kuasa serangannya mampu menjadi senjata untuk mencipta kejutan.
“Saya percaya boleh menewaskannya dengan kekuatan itu, cuma saya tidak boleh menyerang menggunakan kuasa sepenuhnya sepanjang masa. Saya perlu tahu masa yang tepat,” katanya.