sukan

Rodrigo Holgado bakal jadi milik JDT?

Nama penyerang warisan Harimau Malaya, Rodrigo Holgado, kembali menjadi tumpuan selepas wartawan terkenal dari Chile, Maestro Pichanguero, mengaitkan pemain berusia 30 tahun itu dengan juara Liga Super Malaysia 11 musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT), sebagai destinasi barunya.

Sebelum ini, Holgado dilaporkan bakal membuat ‘pusingan U’ mengenai status dirinya apabila mempertimbangkan untuk bersara sepenuhnya daripada arena bola sepak profesional. Namun, perkembangan terbaru ini membuka lembaran baharu apabila kelab gergasi Malaysia dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Holgado antara tujuh pemain warisan negara yang dikenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu pemalsuan dokumen selepas mewakili Malaysia ketika menentang Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 tahun lalu. Situasi ini menimbulkan tanda tanya besar mengenai masa depannya, sama ada beliau mampu kembali beraksi di pentas antarabangsa atau tidak.

Dalam laporan yang tular di media sosial, Maestro Pichanguero mendedahkan bahawa kelab Chile, Coquimbo Unido, turut mengikuti rapat perkembangan Holgado.

“Saya dimaklumkan bahawa pihak Coquimbo Unido sedar sepenuhnya tentang keadaan ini dan sekiranya hukuman itu dibatalkan, pemain itu akan menamatkan kontrak bersama America de Cali, yang sepatutnya tamat pada penghujung 2026. Selepas itu, pemain berkenaan bakal dibawa masuk oleh Johor (JDT) dari Malaysia dengan kontrak jangka panjang,” katanya.

Beliau menambah bahawa keadaan menjadi lebih menarik apabila Coquimbo Unido turut mahu mendapatkan khidmat Holgado untuk menghadapi kempen Copa Libertadores, sekali gus membuatkan pemain itu perlu mempertimbangkan sebarang keputusan dengan teliti.

Sekiranya perpindahan ini berlaku, Holgado berdepan dilema besar – sama ada memilih untuk menyertai JDT dengan kontrak jangka panjang di Malaysia, atau kembali ke kelab aurinegros, Coquimbo Unido, menerusi pinjaman selama enam bulan hingga satu tahun.

Spekulasi mengenai masa depan Rodrigo Holgado semakin hangat selepas dikaitkan dengan JDT. Walaupun hukuman FIFA masih menjadi penghalang utama, minat daripada kelab besar Asia dan Amerika Selatan membuktikan bahawa penyerang ini masih mempunyai nilai tinggi di pasaran bola sepak.