sukan

Ronaldo gesa Al-Nassr sambar De Bruyne

RIYADH: Cristiano Ronaldo dilaporkan menggesa pasukannya, Al-Nassr membuat tawaran yang sukar ditolak pemain tengah Manchester City, Kevin De Bruyne.

Pemain Belgium itu adalah tonggak utama penguasaan City di Liga Perdana Inggeris sejak berpindah dari Wolfsburg pada tahun 2015.

Kontrak pemain 33 tahun itu bersama City berakhir musim ini dan belum ada isyarat jelas berkenaan masa depannya di England.

Ronaldo sudah lama meminati permainan De Bruyne dan dia secara peribadi meminta pengurusan Al-Nassr untuk memujuk pemain itu menyertainya di Liga Pro Saudi.

Bintang Portugal itu mahu Al-Nassr berusaha habis-habisan membawa De Bruyne ke Riyadh yang dianggap akan membantu kelabnya.

Ketika ditanya berkenaan perpindahan ke Timur Tengah, De Bruyne mengakui tawaran lumayan menjadikannya terlalu sukar untuk ditolak.

“Saya masih ada setahun dalam kontrak saya, jadi saya perlu memikirkan apa yang akan terjadi.

“Anak sulung saya berusia lapan tahun dan hanya tahu tentang England. Dia juga bertanya berapa lama saya akan bermain untuk City. Apabila tiba waktunya, kami akan menanganinya dengan cara tertentu.

“Di usia saya, anda perlu terbuka kepada apa saja. Anda bercakap tentang jumlah wang yang besar yang mungkin akan menjadi penutup kepada karier saya. Ia perlu difikirkan.

“Jika bermain di sana dua tahun, saya mampu meraih pendapatan lumayan. Sebelum itu saya perlu bermain bola sepak selama 15 tahun. Saya mungkin tidak akan mencapati jumlah itu,” kata De Bruyne.

De Bruyne tidak beraksi dalam enam perlawanan terakhir City akibat kecederaan hamstring.

Dia meledak 103 gol dan 171 umpanan gol dalam 388 penampilan sejak berpindah ke Etihad sembilan tahun lalu.

sumber:-BH

Bersama City, De Bruyne memenangi enam gelaran Liga Perdana Inggeris, dua Piala FA, lima Piala Liga dan satu Liga Juara-Juara Eropah. – AGENSI