LONDON: Cristiano Ronaldo menyatakan impiannya untuk memburu gol ke-1000 dalam kariernya sambil menyindir bekas pemain Barcelona dan legenda Brazil, Romario.
Bintang Portugal itu mengutarakan hasratnya itu dalam wawancara dengan Rio Ferdinand di saluran YouTube semalam.
Dua legenda Brazil, Romario dan Pele masing-masing meledak 772 dan 767 gol sepanjang karier mereka, manakala Ronaldo mencapai angka ke-899 ketika kemenangan Al-Nassr ke atas Al-Feiha dalam aksi Liga Pro Saudi.
Ronaldo turut melebarkan jaringan menerusi sepakan percumanya kepada 64 gol, satu di belakang Lionel Messi.
“Saya rasa baik, saya rasa saya masih kelihatan menarik. Saya masih boleh menggelecek, membuat percubaan, menjaringkan gol, melompat.
“Apabila saya rasa sudah tidak mampu memberikan sumbangan, saya akan bersara. Tetapi sekarang saya rasa hari itu masih jauh lagi.
“Pertama saya mahu mencapai angka 900. Kemudian 1,000, tetapi dengan satu perbezaan: semua 1,000 gol saya dirakam supaya saya boleh membuktikan yang saya menjaringkan gol,” kata Ronaldo yang menyindir jumlah jaringan Pele dan Romario tidak dapat dibuktikan kerana tiada rakaman video.
Ronaldo sebelum ini menjadi bahan ejekan selepas dia dilihat berkata ‘saya yang terbaik’ ketika mengambil sepakan percuma, tetapi sepakannya jauh tersasar.
Ronaldo kemudian membidas kritikan ke atasnya kerana tidak menjaringkan gol di Kejuaraan Eropah 2024.
“Saya menjaringkan 60 gol musim lalu. Tetapi orang berkata: “Anda tidak menjaringkan lima gol di Kejuaraan Eropah”.
“Apa masalahnya? Saya sudah menjaringkan 130 gol. Saya penjaring terhebat dalam sejarah bola sepak.
“Tetapi saya akan menaikkannya ke tahap lebih tinggi. Tidak lama lagi saya akan mendapatkan 900 gol. Dan selepas itu 1,000 gol. Saya mahu mencapai angka itu.
sumber:-BH
“Berapa usia saya ketika itu? Mungkin 41, saya tidak tahu,” katanya. – AGENSI