Rosman yakin Pearly-Thinaah kembali cergas untuk menghadapi Jelajah Dunia Akhir BWF

BANGKOK – Jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak percaya Pearly Tan-M. Thinaah mampu segera pulih daripada keletihan di Sukan SEA Thailand 2025 untuk menghadapi Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China minggu depan.

Rosman yakin tahap profesional pasangan ranking kedua dunia untuk mengatasi cabaran fizikal dan mental biarpun jadual pertandingan amat padat selepas mengharungi final di Bangkok.

“Setiap kejohanan berbeza, hari ini (Sukan SEA) sudah berakhir dan esok cabaran baharu. Kami akan bertolak ke Hangzhou dan Selasa sudah mula bermain.

“Proses pemulihan, penyesuaian cuaca, perjalanan serta aspek lain akan memainkan peranan penting. Saya harap mereka pulih dengan baik kerana saya yakin mereka cukup profesional,” katanya.

Pearly-Thinaah menamatkan kemarau 10 tahun negara untuk meraih emas beregu wanita Sukan SEA dengan menundukkan gandingan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari dalam aksi final yang berlarutan selama 86 minit.

“Tiada alasan seperti menyertai Sukan SEA menyebabkan kami tidak boleh beraksi baik dalam Jelajah Dunia. Perkara seperti itu tidak wujud,” tambah Rosman.

Mengulas mengenai tekanan di Jelajah Dunia Akhir, Rosman berkata, Pearly-Thinaah tidak boleh lari daripada diletakkan sasaran tinggi sebagai pasangan elit dunia.

“Sebagai jurulatih, apa yang saya harapkan hanyalah mereka bermain pada tahap maksimum. Soal keputusan, kita serahkan kepada Allah. Jika sudah beri usaha maksimum, apa sahaja keputusannya saya tetap berpuas hati,” jelasnya.