Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki negara, Yap Roy King secara terbuka mengumumkan bahawa dia akan memberi fokus kepada satu acara sahaja berbanding beraksi dalam dua kategori di setiap kejohanan sebelum ini.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, beliau melihat keputusan yang diambil oleh Roy King sebagai langkah tepat memandangkan pasangannya, Valeree Siow masih belum dapat kembali ke gelanggang dengan kondisi terbaik.
Justeru, itu akan mengambil masa agak panjang untuk mendapatkan kembali prestasinya dan Roy King membuat pilihan bijak untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada acara beregu lelaki.
“Alasan ini logik. Kalau dipaksakan juga, Roy King akan seperti membuang tenaga secara percuma kerana perlu sentiasa ‘cover’ pasangannya yang belum pulih sepenuhnya. Kita tidak mahu menjadi seperti peribahasa ‘habis manis sepah dibuang,” katanya.
Selain itu, Rexy menyatakan sekiranya pemain itu masih mahu memberi fokus kepada acara beregu campuran, itu akan memberi impak yang sangat sukar buat Roy King kerana beliau belum melihat ada pengganti terbaik.
Katanya, jurang pemain wanita yang ada ketika ini juga agak besar dan jika disatukan juga, dia tidak boleh memberi saingan besar kepada pasangan yang lebih stabil di luar sana.
“Untuk mencari pasangan baharu, tahapnya tidak sama dan ia akan menyusahkan. Bayangkan jika Roy King perlu beraksi dalam kejohanan Jelajah Dunia Super 750 dan kemudian terbang jauh ke Eropah untuk menyertai kejohanan peringkat Cabaran Antarabangsa (IC) dengan pasangan berbeza. Jadual itu tidak praktikal dan terlalu memenatkan,” katanya.
sumber:- stadium astro
Untuk makluman, Roy King kini berpasangan bersama Wan Arif Wan Junaidi dan berada di ranking ke-23 dunia, dengan pencapaian terbaik mereka tahun ini adalah mara ke separuh akhir Masters Orleans.