sukan

RTG suntik semangat FeiDin

Kuala Lumpur: Beregu lelaki nombor satu dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani percaya keputusan menyertai program Road to Gold (RTG) buat kali pertama akan membantu melonjakkan prestasi mereka menjelang temasya Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Sze Fei berkata, secara peribadi dirinya serta Izzuddin yang berstatus profesional, berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana menawarkan program berkenaan kepada mereka.

“Kami berasa amat berbesar hati kerana dijemput menyertai program Road to Gold (RTG) buat kali pertama. Sokongan tambahan ini akan membantu kami dalam usaha mengekalkan kedudukan ranking dan mencapai kejayaan besar tahun ini.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh kerana menawarkan program ini kepada kami serta kepada jawatankuasa dan kakitangan RTG atas bantuan mereka,” katanya menerusi hantaran di media sosial miliknya.

Sze Fei-Izzuddin serta beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menandatangani perjanjian untuk menyertai RTG, Rabu lalu yang disaksikan Penyelaras Projek RTG, Datuk Stuart Ramalingam.

Kedua-dua pasangan itu kini memperoleh sokongan untuk memastikan mereka kekal konsisten menjelang kelayakan Olimpik yang bermula pertengahan tahun depan.

Shevon menerusi hantaran di media sosial miliknya berkata, dia serta Soon Huat amat berbangga menjadi sebahagian daripada projek kebangsaan itu.

“Kami amat menghargai sokongan daripada RTG dalam usaha meningkatkan prestasi kami dan berjanji akan memberikan yang terbaik dalam pertandingan-pertandingan akan datang,” katanya.

Dengan penyertaan dua beregu profesional itu, jumlah pemain badminton dalam program RTG kini meningkat kepada 12 orang.

sumber:- HM

Sebelum ini, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, beregu wanita Pearly Tan-M Thinaah dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terlebih dahulu mengesahkan penyertaan mereka dalam program RTG.