sukan

Rudovic dijangka perkukuh benteng NSFC

SEREMBAN: Seorang lagi bekas pemain Kuala Lumpur (KL) City FC, Adrijan Rudovic dikatakan bakal menyarung jersi Negeri Sembilan FC (NSFC) bagi menghadapi kancah saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2025-26.

Pengurusan kelab berkenaan dikatakan sedang mengintai pemain import berasal dari Montenegro berusia 30 tahun itu, dalam usaha membina kekuatan dan kestabilan khususnya di bahagian pertahanan pasukan Negeri Sembilan.

Berdasarkan perkongsian maklumat dalam kalangan peminat dan penyokong setia skuad Hobin Jang Hobin, Rudovic, yang beraksi di posisi pertahanan tengah dilihat antara pemain yang berprestasi tinggi dan berpotensi membina kekuatan di bahagian berkenaan.

Ini berdasarkan data mengenai pemain ini menunjukkan dia pernah menjadi watak penting dalam jentera pertahanan KL City, dan terkenal dengan kekuatan fizikal serta kemampuan membaca pergerakan lawan dengan baik selain turut berjaya menjaringkan satu gol, musim lalu.

Rudovic merekodkan 30 penampilan bersama KL City dalam semua kejohanan musim lalu termasuk 20 perlawanan Liga Super dan lima aksi di pentas Piala Shopee.

Kontrak Rudovic bersama KL City FC dikatakan tidak disambung sekali gus bakal memudahkan urusan Negeri Sembilan FC untuk mendapatkan khidmat pemain terbabit.

Peminat melihat kehadiran Rudovic, yang mendapat jolokan ‘kereta kebal’ dirasakan mampu memberi impak kepada skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil, dalam misi kelab itu untuk mengembalikan semula reputasi pasukan pada saingan Liga M musim 2025-26 selepas mencatat keputusan yang kurang baik pada musim lalu.

Setakat ini, masih belum ada pengesahan rasmi daripada pengurusan pasukan mengenai perkara itu, namun jika persefahaman antara kedua-dua pihak berjaya dimuktamadkan, langkah membawa masuk Rudovic dilihat bertepatan dalam usaha mengubah nasib pasukan Negeri Sembilan pada musim baharu, yang akan bermula Ogos depan.

sumber:- BHNSFC