Naib Presiden 3 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu, Datuk N Saaran berjanji akan memberikan sokongan dan sumbangan sepenuhnya kepada Presiden baharu badan induk itu, Datuk Ab Ghani Hassan dalam usaha mengembalikan semula martabat serta imej bola sepak negara.
Saaran berkata, beliau bersama barisan kepimpinan baharu FAM akan bekerja sebagai satu pasukan bagi membantu Ghani membawa perubahan dan kemajuan kepada bola sepak Malaysia.
“Terima kasih kepada semua dan saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua perwakilan yang telah membuat pemilihan pada hari ini (semalam).
“Saya nak katakan dengan ringkas, sebagai Naib Presiden 3, kami akan bekerja bersama dan akan memberi semua sumbangan ataupun dari segi tenaga demi kemajuan bola sepak negara kepada Presiden FAM, Datuk Ghani,” kata Saaran.
Saaran berkata demikian selepas memenangi pemilihan jawatan Naib Presiden 3 pada Kongres Luar Biasa Kedua FAM 2026 di sini, semalam.
Dalam pemilihan itu, Saaran memperoleh 18 undi untuk mengenepikan pencabarnya, Afizal Abu Othman yang mendapat tujuh undi.
Kemenangan itu menyaksikan Saaran menjadi antara anggota penting dalam barisan kepimpinan baharu FAM yang akan menggalas tanggungjawab untuk memperkukuhkan semula pentadbiran dan hala tuju bola sepak negara.
Ghani sebelum ini turut meletakkan sasaran untuk mengembalikan keyakinan terhadap FAM dan memastikan badan induk itu bergerak ke arah yang lebih kukuh selepas mengambil alih kepimpinan tertinggi persatuan.
Dengan barisan kepimpinan baharu yang kini lengkap, Saaran percaya kerjasama erat antara semua pihak menjadi elemen penting bagi memastikan usaha memperbaiki semula martabat dan imej bola sepak negara dapat dilaksanakan secara bersama.