KOTA KINABALU: Masalah yang dihadapi Sabah FC tidak seteruk seperti digambarkan segelintir pengamal media sosial yang mengaitkan pasukan berkenaan dengan isu tunggakan gaji pemain.
Pengurus Besar Sabah FC, Mohd Joh Wid, berkata khabar angin yang digembar-gemburkan sejak kebelakangan ini lebih berupa ‘serkap jarang’ atau menuduh sembarangan.
Katanya, beliau tidak mahu menjawab isu berkenaan kerana ia bakal mengundang polemik baharu yang akan memanjangkan lagi perdebatan di media sosial hingga menjejaskan tumpuan terhadap usaha memantapkan pasukan.
Beliau juga menjelaskan bahawa penyebaran khabar angin seperti itu mempunyai motif lain untuk mengganggu emosi pemain dan melemahkan pasukan dalam menghadapi saingan musim ini.
“Apa yang saya boleh katakan, gaji pemain akan tetap dibayar dan saya mahu sebut situasi Sabah FC ketika ini tidak seteruk seperti apa yang di cakap (digambarkan) di media sosial itu.
“Saya tidak mahu akan timbul lagi polemik lain jika saya menjawab perkara itu,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas sejauh mana kebenaran masalah pembayaran gaji pemain Sabah FC seperti disebarkan di media sosial yang antara lain menyebut bayaran pemain tertunggak hingga empat bulan.
sumber:-BH
Mohd Joh yang baru dilantik sebagai Pengurus Besar Sabah FC, berkata isu tunggakan gaji pemain sudah dijelaskannya pada perjumpaan bersama media sebelum bermulanya saingan liga musim ini pada 26 April lalu.