sukan

Sabah FC tekad buru gol awal di Likas

KOTA KINABALU: Sabah FC tekad bangkit pada aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Terengganu FC, di Stadium Likas, di sini, Sabtu ini.

Walaupun mengakui cabaran besar dan tugas berat menanti pemainnya, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yakin anak buahnya mampu memberikan saingan lebih baik.

Paling penting, katanya Sabah FC perlu mengelak daripada dibolosi gol awal pada perlawanan itu yang dijangka lebih sengit selepas Sabah tewas 4-0 pada aksi pertama di Kuala Terengganu, Jumaat lalu.

Beliau berkata, jika gawang Sabah FC dibolosi awal, anak buahnya perlu berusaha berlipat kali ganda untuk memastikan mereka dapat memberikan cabaran secukupnya sepanjang perlawanan itu nanti.

“Sebaliknya, jika Sabah FC mampu untuk mendapatkan gol sudah tentu ini akan membantu meningkatkan semangat juang mereka sekali gus memberikan tentangan hebat kepada Terengganu FC nanti.

“Boleh dikatakan ia satu laluan yang cukup mencabar tetapi tidak mustahil. Apa yang penting kita tahu semua pemain ingin membuktikan apa yang berlaku di Terengganu sebelum ini adalah perkara yang amat sukar (diterima).

“Saya pasti semua pemain mempunyai semangat kental untuk bermain dengan lebih baik di Likas dan mencuba untuk memastikan kita dapat mempengaruhi keputusan berpihak kepada Sabah FC,”kata Kim Swee.

Kim Swee mengakui Sabah FC memerlukan kemenangan besar pada pertemuan kedua itu bagi memastikan Sang Badak dapat melangkah ke peringkat seterusnya.

“Namun apa yang penting, Sabah FC perlu kekal dengan objektif di mana kita harus mencuba untuk mendapatkan gol-gol awal. Paling penting, kita kekalkan tahap saingan sehingga minit terakhir pada perlawanan Sabtu nanti,” katanya.

Sementara itu, katanya beberapa pemain Sabah FC termasuk Miguel Angel Garrido Cifuentes atau Cifu dan Gabriel Peres belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan selepas aksi suku akhir pertama Jumaat lalu.

Bagaimanapun, katanya tidak banyak perubahan posisi dilakukan menjelang pertemuan dengan Terengganu FC pada Sabtu ini tetapi pendekatan yang digunakan berlainan memandangkan pemain beraksi di Piala FA.

“Namun, sesiapa sahaja yang bakal diturunkan Sabtu ini, mereka perlu menunjukkan komitmen dan semangat juang yang tinggi, lebih-lebih lagi beraksi di hadapan penonton sendiri di Stadium Likas.

sumber:-BH

“Kita pastikan Sabah FC mendapatkan keputusan yang positif Sabtu ini dan saya mengharapkan agar semua pemain dapat memberikan kerjasama baik dalam perlawanan itu nanti,” tambahnya.