KOTA KINABALU: Sabah FC berdepan cabaran getir untuk melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam esok, susulan kecederaan dua tonggak penting skuad Sang Badak.
Setelah ketiadaan Ramon Machado yang meninggalkan Sabah selepas aksi suku akhir Piala FA minggu lalu, kini Saddil Ramdani dan Darren Lok pula dikhabarkan tidak dapat beraksi.
Ketua jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee mengesahkan dua tonggak penting bahagian serangan Sang Badak itu masih mengalami kecederaan yang mungkin menyebabkan mereka tidak dapat diturunkan menentang JDT.
Beliau bagaimanapun sudah bersedia dengan pemain lain yang bakal mengambil alih posisi mereka bagi memastikan Sang Badak tetap memberi saingan sengit kepada Harimau Selatan.
“Kedua-dua pemain ini masih mengalami kecederaan dan sudah pasti ia akan memberi satu cabaran besar, namun beberapa pemain lain bersedia mengambil alih posisi mereka.
“Apa yang penting mereka perlu mengambil peluang ini sebaik mungkin termasuk memberi komitmen tinggi selain menimba pengalaman serta bersiap sedia mental dan fizikal bermain dengan pasukan ternama Liga Super.
“Kita sedar ia bukan satu perkara yang mudah tetapi kita harus memberikan saingan hebat serta memastikan Sabah FC dapat beraksi dengan lebih baik terutama selepas tewas dua perlawanan dengan Terengganu baru-baru ini,” katanya.
Mengulas mengenai beberapa isu membabitkan Sabah FC yang tular di media sosial baru-baru ini, Kim Swee berkata, semua isu itu sudah pun diselesaikan.
Justeru, beliau berharap semua pemain Sang Badak memberikan tumpuan penuh kepada perlawanan penting menentang JDT.
“Kita yakin isu luar ini tidak akan mengganggu tumpuan dan fokus pemain, mereka perlu meningkatkan prestasi selepas gagal memperoleh kemenangan daripada dua perlawanan yang lalu.
“Kita tidak bermain dengan begitu baik (lawan Terengganu) dan mereka (pemain) harus melupakan kekalahan itu dengan menumpukan kepada perlawanan esok untuk mengembalikan prestasi sebenar,” katanya.
sumber:-BH
Antara isu yang dikaitkan dengan Sabah FC sebelum ini adalah masalah pembayaran gaji pemain dan ia didakwa antara punca kekalahan dengan agregat 7-0 di tangan Terengganu dalam aksi suku akhir Piala FA.