KOTA KINABALU: Sabah FC terus memperkemas persiapan menjelang saingan Liga Malaysia musim depan apabila membawa masuk tiga pemain import baharu termasuk pemain kebangsaan New Zealand, Dane Ingham.
Pemain pertahanan berusia 26 tahun itu memiliki 11 kaps bersama skuad All Whites dan sebelum ini beraksi bersama kelab A-League (Australia), Newcastle Jets.
“Walaupun cuaca panas dan lembap semasa sesi latihan, ia tetap menyeronokkan. Saya yakin akan serasi bersama rakan sepasukan dan berharap kami mampu meraih kejayaan bersama,” katanya menerusi perkongsian di Facebook rasmi Sabah FC.
Turut menyertai pasukan ialah pemain tengah kelahiran Australia, Dean Pelekanos, 24, yang sebelum ini bersama kelab Western Sydney Wanderers.
“Saya berpeluh habis, kelembapan cuaca seperti yang dikatakan sebelum ini. Namun, kualiti latihan sangat baik dan saya gembira kerana rakan sepasukan menyambut baik kehadiran saya,” katanya.
Seorang lagi pemain import baharu ialah penyerang dari Bosnia, Ajdin Mujagic, 27, yang tampil cemerlang bersama kelab NK BSK Bijelo Brdo di liga divisyen dua Croatia dengan rekod 15 gol musim lalu.
Dalam pada itu, skuad Badak turut mengumumkan kepulangan semula dua pemain tempatan – Badrul Affendy dan Maxsius Musa.
sumber:- BH
Badrul, pemain pertahanan kelahiran Penampang, kembali selepas semusim bersama PDRM FC, manakala Maxsius, penyerang lincah dari Keningau, menyarung semula jersi Sabah selepas kali terakhir beraksi pada 2023. – BERNAMA