sukan

Sabah mungkin hanya mampu bermimpi kejutkan JDT

KUALA LUMPUR: Jika di liga terkemuka Eropah, aksi pendahulu liga menentang pasukan di tangga ketiga sememangnya satu perlawanan yang ‘blockbuster’ dan menjanjikan saingan yang sengit antara kedua-dua pasukan.

Sebagai contoh berdasarkan kedudukan liga ketika ini, ia ibarat Liverpool menentang Nottingham Forest di Liga Perdana Inggeris (EPL) ataupun pendahulu La Liga, Real Madrid berdepan seteru tradisi, Barcelona.

Jika di Serie A pula, ia pertembungan antara Napoli menentang Inter Milan dan dalam konteks Liga Super, ia adalah aksi antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Sabah FC, malam esok.

Aksi ini adalah satu perlawanan yang besar kerana membabitkan pasukan di tiga teratas Liga Super namun malangnya, aksi ‘mega’ yang diharapkan itu berkemungkinan besar sukar untuk terjadi.

Bukan ingin menidakkan kemampuan Sabah FC tetapi majoriti penyokong bersetuju betapa skuad Harimau Selatan berada di kelas berbeza berbanding pencabar lain dalam kancah bola sepak tempatan.

Apatah lagi skuad ‘Badak’ akan bertandang ke ‘kubu kuat’ JDT sekali gus menyaksikan peluang untuk mencipta kejutan itu begitu tipis – ada tetapi bagaikan tiada.

Berdasarkan senario semasa, hampir pasti tiada ‘kejutan’ dan berkemungkinan JDT akan merakam kemenangan rutin seperti biasa namun itu tidak bermakna Sabah FC boleh menyerah begitu sahaja.

Justeru, Sabah FC perlu bermain dengan bijak dan strategi tepat supaya dapat keluar tanpa ‘kerosakan maksimum’ seperti yang pernah dilakukan PDRM FC apabila mengikat JDT 1-1 sebelum ini.

Sementara itu, satu lagi aksi membabitkan PDRM FC yang melayan kunjungan Kuching City FC (KCFC) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), petang esok.

PDRM FC berada pada momentum terbaik apabila belum tewas dalam tiga perlawanan dan mereka perlu memastikan mereka tidak ‘berkarat’ selepas berehat panjang lebih tiga minggu.

sumber:-BH

KCFC pula menutup aksi terakhir dengan langkah kiri apabila tersingkir daripada suku akhir Piala Malaysia di tangga Sabah FC dan aksi ini pasti menjadi medan kebangkitan buat mereka.