sukan

Sabah perlu waspada jumpa bekas kapten

KOTA KINABALU: Sabah FC bakal bertembung dengan bekas kaptennya sendiri, Mohd Amri Yahyah pada Pusingan 16, saingan Piala Malaysia yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Amri yang kini bermain bersama kelab Liga A1 Semi Pro, PT Athletic FC adalah pemain berpengalaman yang tidak boleh dipandang mudah apabila membarisi kesebelasan utama pasukan lawan.

Perkara itu diakui pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang berpandangan kelab itu mungkin boleh mengatasi Sabah FC jika pemain Sang Badak gagal memberi tumpuan sepenuhnya terhadap perlawanan.

Katanya, meskipun undian perlawanan Piala Malaysia kali ini kelihatan berpihak kepada Sabah, namun dengan format kejohanan kalah mati, semua pasukan akan memberi cabaran terbaik masing-masing.

“Lebih menarik, apabila kita akan bertembung semula dengan bekas pemain Sabah FC iaitu Amri Yahyah yang kini beraksi untuk PT Athletic.

“Kita tak boleh memikirkan jalan mudah, apa yang penting Sabah FC harus layak ke peringkat seterusnya. Kita tidak ingin memikirkan siapa lawan selepas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

sumber:-BH

Kim Swee menekankan, apa yang penting Sabah FC perlu menewaskan PT Athletic FC terlebih dahulu dalam dua perlawanan penting pusingan 16 itu nanti.