KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Joehari Mohd Ayub mengharapkan penyokong dapat bersabar dalam menanti pengumuman mengenai pemain kacukan baharu yang akan memperkasa skuad Harimau Malaya dalam masa terdekat ini.
Katanya, pihak yang terbabit sedang dalam proses untuk melengkapkan segala urusan dan dokumentasi berkaitan pemain terbabit dan pengumuman akan dibuat selepas semuanya dapat diselesaikan.
“(Pemain berdarah kacukan) akan diumumkan dalam masa terdekat ini. Nanti kita umumkan sebab sekarang ini masih dalam proses.
“Jadi kami di FAM akan berusaha sehabis baik untuk memastikan projek ini berjalan sebaik mungkin dan pastinya sasaran kita untuk capai kemenangan.
“Jadi semua harus tunggu berita yang akan tiba yang buat saya sungguh teruja dan harap kalian semua juga,” katanya.
Sebagai rekod, skuad negara bakal mendapat suntikan baharu menerusi kehadiran beberapa pemain berdarah kacukan yang sedang dalam proses untuk mendapatkan kerakyatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya, Rob Friend mengesahkan empat pemain berdarah kacukan itu dengan salah seorang dari Belanda sudah berada dalam fasa akhir untuk ‘diMalaysiakan’.
Friend menjelaskan kehadiran pemain warisan baharu ini akan membantu barisan kejurulatihan memiliki lebih banyak pilihan untuk memantapkan pasukan bagi aksi penting itu nanti.
“Proses mendapatkan pasport Malaysia untuk pemain warisan dari Belanda kini berada di peringkat akhir. Tiga lagi pemain juga dalam proses mendapatkan kerakyatan,” kata Friend sebelum ini.
sumber:-BH
Skuad negara di bawah kendalian jurulatih baharu, Peter Cklamovski akan mengharungi aksi Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac dengan mereka akan membuka kempen berdepan Nepal di laman sendiri.