KUALA LUMPUR: Pemain sayap negara, Safawi Rasid memberi bayangan kecewa selepas tidak tersenarai dalam skuad Harimau Malaya bagi saingan Piala FIFA ASEAN, namun enggan membiarkan perkara itu mematahkan semangatnya untuk terus memperbaiki diri.
Menerusi hantaran di media sosial, pemain berusia 29 tahun itu mengakui bangga dengan pencapaian sudah diraih, tetapi kecewa dengan apa yang masih gagal dicapainya, sebelum menegaskan akan terus bekerja keras.
“Bangga dengan apa yang sudah saya capai, tetapi kecewa dengan apa yang tidak dapat saya capai. Perkara ini memang menyakitkan, tetapi ia tidak akan menghentikan saya.
“Saya akan terus bekerja keras, terus memperbaiki diri dan memberikan yang terbaik,” katanya.
Safawi turut menitipkan kata-kata semangat buat skuad Harimau Malaya yang akan mengharungi saingan Piala FIFA ASEAN sambil menyertakan emoji harimau dan Jalur Gemilang.
“Semoga berjaya Harimau Malaya,” katanya.
Hantaran itu dibuat selepas senarai 23 pemain Harimau Malaya bagi kejohanan berkenaan diumumkan, dengan Safawi tidak berada dalam perancangan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk kempen kali ini.