sukan

Safawi kembali menemui sentuhan jaringan

KUALA LUMPUR: Selepas kembali menemui sentuhan jaringan, bintang Terengganu FC (TFC), Safawi Rasid tekad untuk memburu lebih banyak lagi gol pada musim ini.

Pemain pinjaman Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, motivasinya kini kian meningkat terutama selepas menjaringkan dua gol dengan dua pasukan berbeza pada musim baharu ini.

Terdahulu pemain yang lebih mesra dipanggil ‘Pawi’ itu menjaringkan gol ketika membantu pasukan kebangsaan membenam Taiwan 3-1 pada aksi kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Tiga hari berselang, Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2018 dan 2019 itu menjaringkan gol penyamaan ketika membantu TFC menewaskan Perak FC 2-1 pada saingan Piala FA Jumaat lalu sekali gus layak ke suku akhir berdepan Sabah FC.

“Alhamdulillah dalam masa seminggu rezeki saya dapat menjaringkan dua gol dengan dua pasukan berbeza iaitu pasukan kebangsaan dan juga TFC.

“Dua jaringan ini sudah pasti meningkatkan lagi keyakinan saya untuk terus menjaringkan gol dalam setiap perlawanan terutama saingan Liga Malaysia (Liga M) baharu bermula.

sumber:-BH

“Saya harap dapat konsisten untuk menjaringkan gol, namun apa yang lebih penting pasukan mampu melakar kemenangan dalam setiap perlawanan kerana siapa yang menjaringkan gol itu perkara kedua,” kata pemain berusia 27 tahun itu.