KUALA TERENGGANU: Tonggak pertahanan Terengganu FC (TFC), Safwan Mazlan tekad membalas kepercayaan ketua jurulatih Kim Pan Gon selepas terpilih dalam kem latihan kebangsaan menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026.
Pemain berusia 22 tahun itu pada mulanya bagaikan tidak percaya namanya berada dalam senarai skuad Harimau Malaya terutama selepas baharu pulih daripada kecederaan.
Bagaimanapun anak nelayan kelahiran Batu Rakit, Terengganu itu bersyukur dan berterima kasih kepada pengendali kebangsaan yang menyenaraikannya buat kali kedua sepanjang kariernya.
“Sejujurnya saya terkejut dan bagaikan tidak percaya nama berada dalam senarai skuad kebangsaan menjelang pusingan kelayakan bulan depan.
“Ini kerana saya sudah lama tidak beraksi akibat kecederaan selepas menentang Uzbekistan tempoh hari, panggilan ini adalah yang kedua bersama skuad senior.
“Terima kasih yang tidak terhingga buat barisan kejurulatihan skuad kebangsaan yang diketuai Pan Gon kerana memberi kepercayaan sekali lagi kepada saya.
sumber:BH
“Insya-Allah saya tidak akan melepaskan peluang keemasan ini dalam membantu skuad negara,” ujar bekas pemain TFC II itu.