sukan

Salah akan tinggalkan Liverpool?

London: Mohamed Salah berkata, perbincangan mengenai kontrak barunya bersama Liverpool tidak banyak berkembang selepas pemain itu sekali lagi menjadi tonggak ketika membelasah West Ham 5-0 untuk melebar kelebihan lapan mata di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain Mesir itu menjaringkan satu gol dan membantu dua lagi gol untuk menjadikan jumlah keseluruhan jaringannya dalam semua pertandingan musim ini kepada 20 ditambah 17 bantuan dalam 24 penampilan Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.

Salah, bersama rakan sepasukan Virgil van Dijk dan Trent Alexander-Arnold akan tamat kontrak pada penghujung musim, bermakna mereka boleh membincangkan perpindahan percuma dengan kelab lain mulai 1 Januari depan.

Berdasarkan laporan beberapa minggu kebelakangan ini mengatakan perjanjian semakin dimuktamadkan namun pemain berusia 32 tahun itu menafikannya.

“Saya tidak mahu berkata sesuatu kepada media dan orang mula bercakap, tetapi tiada apa yang benar-benar berubah.”

“Sekarang, saya fokus pada pasukan dan berharap kami dapat memenangi Liga Perdana Inggeris,” katanya.

Arsenal dan Chelsea mempunyai peluang untuk merapatkan jurang dengan Liverpool beberapa hari akan datang, tetapi kejuaraan liga utama Inggeris ke-20 dan kejuaraan kedua dalam tempoh 35 tahun itu semakin hampir dalam genggaman Liverpool.

“Satu-satunya perkara dalam fikiran saya adalah saya mahu Liverpool memenangi liga dan saya mahu menjadi sebahagian daripadanya.

“Itulah saja yang saya fokuskan. Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk memenangi trofi itu.

“Kami berada di landasan yang betul, tetapi ada pasukan lain yang cuba mengejar kami. Kami hanya perlu kekal merendah diri dan teruskan perjuangan,” tambah Salah.

sumber:-HM

Arne Slot sudahpun memenangi 23 daripada 27 perlawanan sejak mengambil alih tugas yang nampak mencabar menggantikan Jurgen Klopp di Anfield.