PENGENDALI Liverpool, Arne Slot menggesa Mohamed Salah supaya memperbaharui kontraknnya bersama kelab di tengah-tengah spekulasi perpindahan berprofil tinggi ke Liga Pro Saudi.
Spekulasi perpindahan Salah semakin memuncak selepas Menteri Sukan Arab Saudi, Putera Abdulaziz Turki Al-Faisal mengeluarkan kenyataan bahawa kehadiran pemain itu mampu mengeratkan hubungan budaya negaranya dengan Mesir.
Sebagai rekod, Salah akan menjadi ejen bebas selepas kontraknya bersama The Reds tamat pada penghujung musim ini.
“Sudah tentu kami mahu dia memperbaharui komitmennya bersama kelab.
“Apa pun, Salah cukup matang dan bijak kerana dia telah membuat keputusan yang betul sepanjang kariernya.
“Jadi, kali ini dia pasti akan membuat keputusan terbaik untuk dirinya dan semoga untuk kami juga,” ujar Slot.
Pada Sabtu, Salah meledak dua gol ketika membantu Liverpool menewaskan Bournmouth 2-0 di Stadium Vitality.
Kemenangan itu memastikan Liverpool terus gah di singgahsana Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 56 mata selepas mengharungi 23 perlawanan setakat ini.
Bagi Salah, ia adalah jaringannya yang ke-177 daripada 178 perlawanan sejak menyertai Liverpool pada 2017.
Bintang Mesir itu kini hanya kurang enam gol berbanding bekas penyerang Manchester City, Sergio Aguero sebagai penjaring terbanyak EPL dalam kalangan pemain asing.
Lebih menarik, awal musim ini Salah berada di tangga ke-11 dalam senarai penjaring terbanyak EPL sepanjang zaman dengan 157 gol.
Dalam beberapa bulan terakhir Salah mengatasi Jermain Defoe (162 gol), Robbie Fowler (163), Thierry Henry (175) dan terkini Frank Lampard (177).
———————————-
INFO:
Lima penjaring terbanyak EPL sepanjang zaman
1. Alan Shearer 260 gol
2. Harry Kane 213 gol
3. Wayne Rooney 208 gol
4. Andy Cole 187 gol
5. Sergio Aguero 184 gol