LIVERPOOL: Bekas penyerang Watford, Troy Deeney menganggap bintang Liverpool, Mohamed Salah bukan pemain kelas dunia.
Salah meraih status legenda di Anfield selepas meledak 221 gol, dan membantu 99 lagi, dalam 366 penampilan sejak menyertai kelab itu pada tahun 2017.
Pemain sayap Mesir itu, yang menjulang trofi Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah bersama Liverpool, meneruskan rentak cemerlangnya musim ini – menjaringkan 10 gol dalam 17 penampilan di bawah kendalian Arne Slot.
Bagaimanapun Deeney, yang meledak 131 gol dalam 389 penampilan untuk Watford, merasakan Salah belum berhak dilabel sebagai salah seorang pemain terbaik dunia.
“Saya rasa Mohamed Salah memang hebat, dia memainkan peranan penting untuk Liverpool dan mereka tidak sepatutnya membiarkan kontraknya tamat.
“Tetapi saya faham mereka cuba untuk mengekalkan struktur kewangan kelab. Cuma saya rasakan dia bukan pemain kelas dunia.
“Bagi saya pemain kelas dunia ialah seseorang yang saya mahu anak-anak saya bermain sepertinya. Itu kelas dunia bagi saya.
“Jika anak saya mahu menjadi seorang penyerang, saya mahu mereka bermain seperti VInicius Jr, bukan seperti Mohamed Salah.
“Tetapi jaringannya (salah), jumlahnya sangat luar biasa, dia sangat berkesan, cuma pendapat saya berbeza. Dia mungkin akan berkata; ‘Siapa Troy?’ dan saya menerimanya,” kata Deeney.
Hanya Ian Rush (339 gol) dan Roger Hunt (263) menjaringkan lebih banyak gol untuk Liverpool berbanding Salah sepanjang sejarah 132 tahun kelab.
Salah menjaringkan 163 gol Liga Perdana Inggeris untuk The Reds, dua daripadanya ketika beraksi untuk Chelsea ketika kempen 2013-14.
Pemain 32 tahun itu berada di tangga kesembilan penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Perdana Inggeris ketika menjaringkan gol pembukaan dalam kemenangan 2-1 Liverpool ke atas bekas kelabnya di Anfield bulan lalu.
sumber:-BH
Kontrak Salah di Liverpool akan berakhir pada musim panas nanti. – AGENSI