PEMIMPIN Arab Saudi berusaha memujuk Mohamed Salah supaya meninggalkan Liverpool pada musim panas akan datang dengan menawarkan gaji £65 juta (RM357 juta) bagi hanya dua musim beraksi di negara gurun itu.
Salah seorang pemimpin paling berpengaruh di negara Teluk mencetus cerita itu dengan menyiarkan gambar Salah menyarung jersi Al-Hilal.
Turki Al-Alshikh, yang mengemudi keberkesanan Arab Saudi mengambil alih tinju profesional, memegang jawatan menteri Kabinet dalam kerajaan Saudi dan juga pengerusi Pihak Berkuasa Hiburan Am negara itu.
Rakan akrab Putera Mahkota Mohammed bin Salman, pemerintah negara itu, beliau membuktikan keazaman Al-Hilal untuk mendapatkan khidmat Salah sebelum penampilan mereka pada Piala Dunia Kelab FIFA musim panas ini.
Memandangkan kos besar itu, ia hanya boleh dilakukan dengan kelulusan Putera Mahkota dan Dana Pelaburan Awam (PIF) Saudi.
Pemimpin FIFA membenarkan kelab yang mengambil bahagian “jendela” perpindahan tambahan untuk menandatangani pemain tepat pada masanya bagi pertandingan yang bermula pada pertengahan Jun, ketika kontrak biasa tamat pada akhir bulan itu.
Kini Arab Saudi dilihat bersedia menawarkan Salah gaji lumayan itu jika dia bersetuju menamatkan hubungannya dengan Liverpool dan berpindah ke kelab berpangkalan di Riyadh itu.
Ketiadaan persetujuan mengenai kontrak baharu Salah bersama Liverpool – dan komen khalayak mengenai “musim terakhirnya” di Anfield – meningkatkan keraguan mengenai keinginannya untuk menandatangani kontrak baharu di Anfield.
Keraguan mengenai masa depannya bagaimanapun tidak menjejas Salah yang menikmati musim terbaik kariernya di Liverpool, apabila muncul pendahulu penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 18 gol dan 13 bantuan gol setakat ini.
Jika Salah menghabiskan beberapa bulan terakhir kontrak semasanya tanpa menandatangani kontrak baharu dia boleh meninggalkan kelab itu secara percuma.
Salah mengumpul 232 gol dan 105 umpanan gol dalam 378 penampilan sejak tiba di Liverpool dari AS Roma pada 2017.
Pemain sayap itu menang satu kejuaraan EPL, Piala FA, dua Piala Liga dan Liga Juara-Juara bersama The Reds. – AGENSI