MIAMI: Tiket-tiket Piala Dunia Kelab yang bermula 15 Jun ini di Amerika Syarikat masih banyak belum terjual, termasuk untuk final di Stadium MetLife, New Jersey pada 13 Julai.
Kejohanan yang pertama kali diperluas kepada 32 pasukan dan menawarkan hadiah lebih lumayan berbanding edisi-edisi sebelumnya, dilanda kontroversi berkaitan peraturan kelayakan dan kebajikan pemain-pemain selepas musim Eropah yang padat.
Inter Miami yang diterajui Lionel Messi akan berdepan kelab Arab Saudi, Al-Ahly pada aksi pembukaan pada 15 Jun di Stadium Hard Rock, Miami, dengan tiket-tiket masih banyak belum terjual.
Inter Miami layak selepas mendahului Major League Soccer walaupun tewas pada pusingan pertama play-off – keputusan yang dianggap pengkritik sebagai tindakan terdesak FIFA untuk memastikan bintang Argentina itu dapat beraksi.
Keputusan FIFA memberikan tuan rumah satu slot dan menjadi milik Inter Miami menimbulkan tanda tanya dalam kriteria kelayakan ke kejohanan itu – yang tidak menampilkan Liverpool, Barcelona atau Napoli – juara-juara liga berprestij Eropah.
Selain menjuarai kejohanan kelab konfederasi masing-masing, pasukan turut layak berdasarkan ranking persembahan mereka sepanjang tempoh empat tahun.
Club Leon, pemenang Piala Juara-Juara CONCACAF 2023, dikeluarkan daripada kejohanan lebih sebulan lalu kerana berkongsi pemilikan dengan satu lagi kelab yang layak – kelab Major League Soccer, Los Angeles FC yang dibenarkan beraksi.
Kejohanan kali ini dibahagikan kepada lapan kumpulan membabitkan empat pasukan. Real Madrid antara pesaing utama kejuaraan, diikuti juara Jerman, Bayern Munich dan juara Liga Perdana Inggeris serta Liga Juara-Juara 2023, Manchester City.
Juara Eropah, Paris Saint-Germain hadir pada prestasi terbaik selepas menewaskan Inter Milan 5-0 pada final Liga Juara-Juara, Sabtu lalu. – REUTERS