Sampai bila Jun Hao?

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) disaran memberi kata dua kepada pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao untuk segera bangkit atau berdepan risiko digugurkan daripada skuad kebangsaan selepas terus gagal mencipta impak dalam kejohanan antarabangsa.

Bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj berpandangan Jun Hao masih memiliki kemampuan untuk kembali ke tahap terbaik, namun masalah keyakinan dan mental dilihat menjadi penghalang utama kepada prestasinya ketika ini.

Jun Hao yang menghuni ranking ke-27 dunia gagal melangkah ke suku akhir dalam 12 kejohanan disertainya tahun ini apabila aksinya sering berakhir di pusingan pertama atau kedua.

Terbaharu, pemain berusia 27 tahun itu tersingkir di pusingan pertama Masters China di Shenzen selepas tunduk kepada pemain Indonesia, Jonatan Christie, kelmarin.

Pada Mei lalu, Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei memberikan amaran terakhir kepada Jun Hao susulan masalah disiplin yang dihadapinya, dengan tindakan lebih tegas menanti sekiranya pemain itu gagal melakukan perubahan.

Menurut James, BAM perlu membantu bekas juara remaja Asia itu terlebih dahulu khususnya dari aspek mental sebelum membuat keputusan terhadap masa depannya dalam skuad kebangsaan.

Katanya, Jun Hao dilihat beraksi dalam keadaan takut sehingga menyebabkan corak permainannya berubah dan tidak lagi konsisten seperti ketika latihan.

“Saya tengok dia bermain macam takut. Saya tidak tahu takut apa, tetapi permainannya sudah berubah dan nampak tidak stabil.

“Mungkin dia takut kalah atau takut tidak boleh bermain dengan baik. Strateginya juga nampak terganggu kerana apabila bermain, banyak perkara tidak menjadi seperti yang dirancang,” katanya ketika dihubungi.

James berkata, masalah Jun Hao bukan dari segi kemahiran kerana pemain itu masih memiliki pukulan bertenaga serta kelebihan melakukan pukulan mengelirukan.

Namun, beliau mempersoalkan tahap kecergasan pemain itu yang dilihat gagal mengekalkan prestasi apabila perlawanan berlanjutan.

“Kalau dia menang set pertama, ada harapan besar. Tetapi apabila kalah set pertama, dia mula bergelut pada set kedua,” katanya.

James mencadangkan BAM memberi tempoh setahun lagi kepada Jun Hao untuk membuktikan kemampuan sebelum membuat keputusan sama ada mengekalkannya atau menggugurkannya daripada skuad negara.

“BAM boleh beri amaran kepadanya. Kalau dia tidak menunjukkan prestasi, dia boleh digugurkan.

“Dalam tempoh setahun ini dia perlu menunjukkan prestasi. Jika masih gagal, keputusan sama ada untuk kekalkan atau lepaskan dia perlu dibuat,” katanya.

Dalam masa sama, James menyarankan BAM mendapatkan bantuan pakar psikologi sukan bagi membantu Jun Hao mengatasi faktor takut kalah yang dilihat semakin menjejaskan permainannya.

“Dia perlukan seorang pakar psikologi untuk membantu mengubah cara fikirannya supaya dia boleh kembali bermain dengan keyakinan,” katanya.

Pencapaian terbaik Jun Hao dalam Jelajah Dunia BWF adalah muncul naib juara Masters Jepun 2024 berstatus Super 500.

Dia turut menjuarai Masters Indonesia 2022 dan Malaysia Super 100 2023 tetapi kedua-duanya hanya bertaraf Super 100.

Nama: Leong Jun Hao

Umur: 27 tahun

Ranking dunia: 27

Jurulatih: Kenneth Jonassen dan Datuk Tey Seu Bock

Pencapapaian 2026:

● Terbuka Malaysia – Pusingan kedua

● Terbuka India – Pusingan pertama (tarik diri set kedua)

● Terbuka Jerman – Pusingan pertama

● Seluruh England – Pusingan kedua

● Kejohanan Badminton Asia – Pusingan pertama

● Masters Malaysia – Pusingan pertama

● Terbuka Singapura – Pusingan pertama

● Terbuka Indonesia – Pusingan kedua

● Terbuka Jepun – Pusingan kedua

● Terbuka China – Pusingan kedua

● Kejohanan Dunia – Pusingan kedua

● Masters China – Pusingan pertama