sukan

Sasaran besar Ab Ghani untuk Harimau Malaya

Menaikkan kembali kedudukan Harimau Malaya dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjadi antara perkara utama yang ditumpukan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan.

Ab Ghani yang baru dipilih sebagai Presiden FAM pada Kongres Luar Biasa, Khamis lalu menjelaskan bahawa Harimau Malaya yang kini berada di ranking ke-136 dunia mempunyai peluang untuk menembusi kelompok 100 dunia.

Beliau berkata, sasaran awal yang diharapkan adalah untuk meletakkan Harimau Malaya sebagai pasukan nombor satu di rantau Asia Tenggara dan perkara itu mampu untuk dicapai menerusi kerjasama semua pihak.

“Ya, saya katakan semalam kepada mereka (pasukan kebangsaan) bahawa sekurang-kurangnya peringkat awal ini, kita mestilah menjadi nombor satu di peringkat ASEAN.

“Bukan tidak boleh buat, boleh buat, tapi dengan penuh keyakinan dan bukan FAM sahaja yang akan terbabit, malah kita mengharapkan juga

“Pemegang taruh dan sebagainya harus terbabit dalam memastikan bola sepak negara kembali pulih atau kembali cemerlang,” katanya ketika ditanya adakah ada peluang untuk melihat Harimau Malaya berada dalam kelompok 100 dunia.

Harimau Malaya pernah berada di kedudukan 116 dalam ranking FIFA pada November tahun lalu sebelum jatuh mendadak hingga ke tangga 138 pada April lalu kesan daripada isu pemalsuan dokumen tujuh pemain.

Susulan daripada isu itu, FIFA membatalkan keputusan tiga aksi persahabatan dengan Cape Verde, Singapura dan Palestin yang menyaksikan Malaysia dianggap tewas 0-3 dalam perlawanan berkenaan kerana menurunkan pemain tidak layak.

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kemudian turut mengambil langkah sama apabila membatalkan keputusan dua aksi Harimau Malaya dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Nepal dan Vietnam dengan Malaysia juga diisytihar kalah 0-3.

Bagi rantau Asia Tenggara, Harimau Malaya ketika ini berada di kedudukan kelima di belakang Thailand (ranking 94), Vietnam (99), Indonesia (118) dan Filipina (135).

Selain itu, Ab Ghani menjelaskan kedudukan dalam ranking FIFA amat penting buat pasukan kebangsaan untuk mendapat undian yang lebih baik bagi kempen kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia tahun depan.

“Pada Jun tahun depan akan diadakan undian dan saya juga merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa untuk kita dapat menaikkan ranking.

“Sekurang-kurangnya (ranking) kita naik lagi dan Piala ASEAN FIFA juga ada mata, jadi kita perlu juga dapatkan mata itu kerana ia penting sebelum undian dibuat.

“Harimau Malaya mesti kita pastikan sekurang-kurangnya dalam ‘Balang 2’, kita tidak mahu dalam ‘Balang 3’ atau ‘Balang 4’ sebab sukar nanti buat Harimau Malaya dalam pertandingan atau peringkat awal (kelayakan),” katanya.