sukan

Sasaran Nova kepada Pang Ron-Su Yin di Terbuka Hong Kong

Beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin kini berada di ambang kebangkitan semula apabila dijadualkan turun menentang pasangan Ukraine Oleksii Titov-Yevheniia Kantemyr dalam pusingan pertama Terbuka Hong Kong 2025 esok. Selepas mencipta kejutan mara ke suku akhir Kejohanan Dunia di Paris baru-baru ini, pasangan No.14 dunia itu digesa untuk mengekalkan momentum dan membuktikan bahawa prestasi cemerlang mereka bukan sekadar episod sementara.

Di Adidas Arena, Paris, Pang Ron-Su Yin mengejutkan ramai apabila menyingkirkan pasangan No.6 dunia dan rakan senegara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dalam pertarungan sengit tiga set. Walaupun akhirnya tewas kepada pilihan kedua dari China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, aksi mereka menunjukkan peningkatan ketara dari segi keyakinan, komunikasi dan kawalan taktikal.

Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto, mengakui bahawa pasangan ini semakin menghampiri tahap terbaik mereka.

“Sebelum ini mereka bermain sangat bebas dan tidak ada tekanan. Ketika di Kejohanan Dunia, saya nampak permainan mereka sudah mula kembali,” kata Nova.

Beliau meletakkan sasaran sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir di Hong Kong, sebagai penanda aras konsistensi dan kematangan taktikal.

Salah satu aspek penting yang diperhatikan Nova ialah pemulihan keyakinan Cheng Su Yin, yang sebelum ini bergelut dengan tekanan dan kurang percaya diri selepas menjadi naib juara China Masters tahun lalu. Di Paris, beliau menunjukkan semangat juang yang tinggi dan lebih tenang dalam situasi genting.

“Saya sudah ingatkan Su Yin supaya kembali kepada dirinya yang dahulu—bermain dengan gembira dan tanpa beban. Bila terlalu teruja, emosi sukar dikawal dan itu boleh ganggu prestasi,” tambah Nova.

Kejayaan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei merangkul gelaran juara dunia baru-baru ini turut menjadi pencetus semangat buat pasangan lain dalam kem kebangsaan. Nova menyifatkan pencapaian itu sebagai penanda aras baharu yang memberi motivasi kepada pemain pelapis seperti Pang Ron-Su Yin.

“Apabila kita ada juara dunia, ia jadi penanda aras. Pemain-pemain lain akan terikut-ikut dan mahu capai tahap yang sama,” katanya.

Dengan Chen-Toh menarik diri daripada Terbuka Hong Kong kerana faktor pemulihan, harapan Malaysia kini disandarkan kepada Pang Ron-Su Yin dan Soon Huat-Shevon untuk mengibarkan cabaran dalam kategori beregu campuran.