sukan

satu ‘surat layang’ yang tular

KUALA LUMPUR: Pemimpin gerakan penyokong skuad kebangsaan iaitu Ultras Malaya, Lekir Ahmad menafikan beliau mendapat apa-apa ‘faedah’ daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) seperti dakwaan dalam satu ‘surat layang’ yang tular, Ahad lalu.

Menerusi satu hantaran di laman Facebooknya, Lekir turut menafikan dakwaan bahawa dia menerima subsidi ke luar negara untuk menyokong skuad Harimau Malaya setiap kali mereka beraksi di luar negara.

“Fitnah berkaitan subsidi ini adalah salah dan semua kos adalah atas biaya saya sendiri. Persepsi yg mengatakan saya melobi ataupun mendapatkan projek daripada FAM juga adalah salah.

“Saya tiada apa-apa yang nak dikejarkan dalam FAM, saya ada kerjaya saya sendiri dan Alhamdulillah saya cukup makan dengan cara ini.

“Tidak dinafikan, saya ada beberapa kali ke FAM bertemu Presiden dan Setiausaha Agung untuk membincang perihal penyokong untuk ke Qatar bagi Piala AFC yang lepas.

“Segala apa yg saya lakukan dalam perjalanan bolasepak ini, insya-Allah saya masih tahu hukum dan falsafah bola sepak yang perlu saya jaga,” kata Lekir.

Dalam hantaran sama, Lekir turut mengesahkan dia sudah membuat laporan polis untuk menafikan sebarang pertuduhan dan fitnah yang dinyatakan memandangkan dia sama sekali tidak melakukan segala apa yang difitnahkan dalam ‘surat layang’ itu.

“Saya memohon siasatan dilakukan ke atas perkara ini menerusi peruntukan undang-undang yang sedia ada supaya dapat mengembalikan maruah dan imej saya yang diaibkan oleh penghantar surat layang terbabit.

sumber:-BH

“Laporan Polis ini juga akan menjadi titik mula tindakan saya seterusnya jika ada keperluan untuk berbuat demikian,” katanya.