KUALA LUMPUR: Pemain badminton perseorangan wanita negara, Wong Ling Ching menetapkan sasaran realistik untuk mara ke separuh akhir pada penampilan keduanya di Sukan SEA yang bakal berlangsung di Thailand.
Ling Ching mengakui sebagai atlet, impian utamanya sudah tentu mahu membawa pulang pingat namun dia sedar akan laluan kali ini lebih mencabar berbanding edisi terdahulu berikutan kebanyakan negara dijangka menurunkan pemain terbaik mereka.
“Bagi saya, tentunya mahu mendapatkan pingat. Tetapi kali ini saingannya berbeza berbanding tahun lalu kerana mungkin disertai ramai pemain ternama.
“Jadi apa yang boleh saya katakan, saya berharap untuk mara ke separuh akhir… tak mahu meletakkan sasaran terlalu tinggi,” katanya.
Ling Ching yang kini berada di ranking ke-42 dunia akan menggalas cabaran perseorangan wanita bersama seorang lagi pemain negara, K Letshanaa.
Bagi acara beregu wanita, naib juara dunia di Paris, Pearly Tan-M Thinaah serta gandingan Go Pei Kee-Teoh Mei Xing menjadi taruhan negara.
Sementara itu, skuad lelaki dibarisi nama-nama berpengalaman termasuk Leong Jun Hao, Justin Hoh, Eogene Ewe, Aidil Sholeh Ali Sadikin, beregu utama dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Turut tersenarai bagi acara berpasukan ialah Chen Tang Jie dan Ho Pang Ron.
Mengulas cabaran di Thailand nanti, Ling Ching tidak menafikan jurang keupayaan dengan bintang utama tuan rumah seperti Ratchanok Intanon dan Pornpawee Chochuwong.
“Bagi saya, saya tidak jangka untuk menang ke atas Ratchanok atau Pornpawee atau sesiapa pun.
“Saya hanya mahu kekalkan rentak permainan dan berharap dapat memberi cabaran di sana nanti. Jika dapat meraih kemenangan, sudah tentu ia sesuatu yang baik,” katanya.