Saya harap ahli gabungan beri kepercayaan kepada Shahril terajui FAM – Johan

Selangor FC berharap ahli gabungan dapat memberi kepercayaan kepada Datuk Seri Shahril Mokhtar untuk diangkat sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu.

Shahril yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) akan bertanding merebut kerusi panas itu bersama Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan pada kongres pemilihan, Khamis ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon menjelaskan Shahril memiliki keupayaan dan kebolehan untuk memimpin FAM serta membawa pembaharuan terhadap badan induk bola sepak negara.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan terletak di tangan semua ahli gabungan untuk menentukan hala tuju FAM dan bersama membawa bola sepak Malaysia pergi lebih jauh.

“Ahli gabungan harus percaya dan yakin bahawa mereka sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan bola sepak Malaysia.

“FAM ini untuk semua, setiap ahli gabungan perlu bersama-sama terbabit dalam pembangunan bola sepak dan saya percaya dengan kebersamaan serta keyakinan yang mereka ada, kita boleh membawa bola sepak lebih jauh.

“Jadi, saya berharap mereka akan memberi sokongan dan juga keyakinan kepada Datuk Seri Shahril yang mana menerusi manifestonya, beliau ingin melakukan pembaharuan.

“Bukan beliau menidakkan apa yang sudah dibuat selama ini, tetapi merasakan apa yang dibuat boleh diperbaiki dan ditambah baik lagi. Saya percaya semua ahli gabungan akan membuat keputusan terbaik semasa mengundi Khamis ini,” katanya.

Johan juga akan bertanding bersama empat calon lain termasuk Datuk Kamarudin Hassan, Datuk Syed Mahadi Syed Hassan, Datuk Dr P Sugumaran dan Muhammad Faliq Firdaus bagi merebut dua kerusi Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) kelab (FC).

Mengulas mengenai keputusannya untuk bertanding, Johan berkata, seandainya dipilih untuk memegang jawatan itu, beliau sedia memberikan sumbangan untuk perkembangan bola sepak negara berdasarkan pengalaman bersama Selangor FC dan FAS.

“Saya akan cuba saya upaya untuk bersama-sama rakan di negeri lain untuk kita berkongsi idea terhadap struktur pembangunan bola sepak yang lebih mampan membabitkan semua pihak,” katanya.

Sumber: BH