sukan

Saya kecewa ‘dikhianati’ KFA

ALOR SETAR: Pemilik Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar meluahkan kekecewaannya selepas ditinggalkan keseorangan dalam mencari jalan keluar daripada masalah kewangan yang dihadapi kelab itu.

Ia susulan tindakan beberapa individu yang menjadi pemilik bersama kelab itu menarik diri selain tindakan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) membentuk pasukan baharu, Kedah FA untuk bersaing bersama KDA FC dalam Liga Semi Pro A1.

“Sepatutnya dalam keadaan susah payah ini gabungan ini masih bersama-sama demi menyelamatkan pasukan dan membina kembali pasukan yang ditubuhkan bersama dalam suasana semangat kekeluargaan dan kebersamaan walaupun dari segi undang-undang tidak salah untuk membentuk pasukan kedua, ketiga dan sebagainya.

“Sebagai manusia memang saya kecewa, kerana apabila kita susah, sudah pasti kita mengharapkan rakan-rakan kita atau ahli keluarga kita yang ada kepentingan bersama secara ‘stake holders’ untuk membantu kita. Ini kerana mereka telah menjadi pemilik bersama dan membentuk sebuah perkongsian strategik yang dibina sejak 2021 hinggalah ke hari ini,” katanya pada sesi sidang media semalam.

Dalam perkembangan sama Mohd Daud berharap KFA dapat memainkan peranan dalam membantu KDA FC meskipun menubuh Kedah FA untuk saingan Liga Semi Pro A1 musim ini.

“KDA FC adalah anak kepada keluarga KFA yang telah diswastakan pada 2019 dan telah diamanahkan kepada tiga ahli lembaga pengarah dari KFA sendiri dan juga saya untuk menjaga dan membesarkan KDA FC. Itu secara faktanya.

“Namun apabila KDA FC membesar dan sedang dalam usaha meneruskan kejayaan, pihak KFA pula tiba-tiba melahirkan ‘anak baharu’ iaitu Kedah FA sedangkan yang pada asalnya KDA FC adalah anak pertama daripada keluarga KFA.

sumber:- BH

“Jadi saya berharap pihak KFA juga dapat memainkan tanggungjawabnya terhadap KDA FC bagi menyelesaikan segala masalah,” katanya.